Isnin, 8 Jun 2020 | 5:28pm

COVID-19: 7 kes baharu dilaporkan, terendah sejak 18 Mac

PUTRAJAYA: Kes baharu COVID-19 di Malaysia mencapai satu angka, hari ini, membabitkan tujuh jangkitan yang juga bilangan terendah sejak 18 Mac lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kes positif wabak berkenaan kini mencecah 8,329.

Beliau berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula ialah 1,518.

"Daripada tujuh kes baharu dilaporkan, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala lima lagi penularan di dalam negara membabitkan warganegara Malaysia," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Memperincikan lanjut mengenai lima kes baharu penularan di dalam negara, Dr Noor Hisham berkata, dua membabitkan kontak rapat kepada kes positif di Sepang, dan masing-masing satu daripada Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, saringan prapembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) serta saringan komuniti di Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 20 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan sudah dibenarkan pulang ialah 6,694 atau 80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian, hari ini, dengan jumlahnya kekal 117 atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X