Selasa, 9 Jun 2020 | 12:08am
(Gambar fail - hiasan) Anggota bomba melaksanakan nyah cemar di sebuah TASKA. - NSTP/FOTO IHSAN JBPM
(Gambar fail - hiasan) Anggota bomba melaksanakan nyah cemar di sebuah TASKA. - NSTP/FOTO IHSAN JBPM

Sukar tampung kos operasi - Persatuan TASKA

KUALA LUMPUR: Taman asuhan kanak-kanak (TASKA) yang mengenakan yuran RM600 dan ke bawah sebulan, tidak dapat menampung kos operasi, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan COVID-19.

Justeru, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad, mencadangkan kadar yuran itu dinaikkan bagi memastikan kelangsungan operasi TASKA.

"Walaupun sejak 4 Mei lalu ada TASKA yang sudah beroperasi dan semakin banyak akan dibuka pada 9 Jun ini, namun bilangan kanak-kanak terpaksa dikurangkan hingga 50 peratus bagi mematuhi penjarakan sosial, maka kutipan yuran juga berkurangan.

"Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan operasi TASKA kerana tidak dapat menampung beberapa kos seperti gaji pengasuh, sewa premis, bil api dan air, makan dan minum serta alat bantuan mengajar.

"Kita tunggu dalam dua hingga tiga bulan lagi dan lihat sama ada operasi TASKA ini boleh bertahan atau tidak," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan pengendali TASKA yang menzahirkan kerisauan operasi terjejas susulan pelaksanaan PKP dan PKPB oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Anisa berkata, ibu bapa juga hendaklah mengambil berat mengenai kenaikan kadar yuran itu kerana kos operasi TASKA kekal meskipun bilangan kanak-kanak di sesebuah TASKA itu berkurangan.

"Kenaikan kadar yuran TASKA ini perlu dimaklumkan kepada ibu bapa dan dilampirkan juga dalam perjanjian baharu pembayaran yuran TASKA," katanya.

Sementara itu, Anisa menzahirkan kesyukuran atas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memberi geran secara 'one off' hingga RM5,000 kepada pengendali TASKA berdaftar bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hingga 31 Disember depan bagi menggalakkan mereka mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Tidak kira berapa banyak peruntukan yang diberikan kerajaan, sekurang-kurangnya duit itu dapat digunakan untuk mensanitasi premis TASKA dan membaik pulih beberapa peralatan di dalamnya," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X