Selasa, 9 Jun 2020 | 1:29pm
Perkhidmatan rel Rapid KL akan beroperasi secara normal serta mengakhiri peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan.FOTO/BERNAMA
Perkhidmatan rel Rapid KL akan beroperasi secara normal serta mengakhiri peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan.FOTO/BERNAMA

Rapid KL beroperasi secara normal

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan rel Rapid KL akan beroperasi secara normal serta mengakhiri peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen bermula esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), Abdul Hadi Amran, berkata langkah yang diambil itu sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pengangkutan untuk PKPP, yang membenarkan kapasiti 100 peratus kepada semua perkhidmatan rel kecuali ETS dan KTM Intercity.

"Bermula esok, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, LRT Ampang/Sri Petaling, Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh – Kajang dan Laluan Monorel dikendalikan Rapid Rail akan menamatkan arahan penjarakan sosial di dalam tren.

"Tanda-tanda penjarakan sosial di dalam tren dan stesen sudah pun dikeluarkan namun prosedur keselamatan dan kesihatan sedia ada akan diteruskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Halim berkata, pihaknya berharap semua pengguna akan mendisiplinkan diri untuk mematuhi norma baharu dalam penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memastikan usaha gigih mencegah penularan COVID-19 terus berkesan.

"Prosedur keselamatan dan kesihatan untuk menggunakan perkhidmatan rel adalah pengambilan suhu pekerja dan penumpang.

"Pekerja atau penumpang yang mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah selsius tidak akan dibenarkan masuk dan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.

"Selain itu, pemakaian pelitup muka adalah wajib kepada semua pekerja dan penumpang semasa berada di dalam sistem pengangkutan awam termasuk penggunaan cecair pembasmi kuman," katanya lagi.

Tambah beliau, penggunaan fasiliti dan transaksi bukan tunai seperti pas bulanan atau kad Touch N Go adalah digalakkan.

Penumpang juga digalakkan untuk memuat turun, menggunakan aplikasi MySejahtera serta mengimbas QR kod dan menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di kawasan stesen.

"Rapid Rail dijangka mampu meningkatkan kembali jumlah keseluruhan penumpang kepada 750,000 sehari berbanding pada kadar di bawah 200,000 sehari ketika arahan PKP Bersyarat dijalankan.

"Kerja-kerja membasmi kuman dan pembersihan stesen-stesen serta di dalam tren akan diteruskan secara gigih seperti sebelumnya," katanya.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan rel Rapid KL boleh didapati daripada laman media sosial di Facebook @myrapid, Twitter @MyRapidKL atau menerusi talian 03-7885 2585.

Berita Harian X