X
Rabu, 10 Jun 2020 | 5:48pm
Aliran trafik lancar di Lebuh Raya Utara Selatan ketika tinjauan selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini. - Foto BERNAMA
Aliran trafik lancar di Lebuh Raya Utara Selatan ketika tinjauan selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini. - Foto BERNAMA

Kebenaran rentas negeri: Lebuh raya seluruh negara lancar

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di semua lebuh raya utama negara dilaporkan bergerak lancar pada hari pertama rakyat dibenarkan membuat perjalanan rentas negeri menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula hari ini.

Tinjauan BH di tiga plaza tol utama keluar dari ibu negara iaitu Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Jalan Duta sejak pagi tadi mendapati kenderaan bergerak lancar.

Walaupun berlaku sedikit kesesakan, ia membabitkan kenderaan yang masuk ke arah pusat bandar dengan kebanyakannya orang awam yang mahu ke tempat kerja masing-masing serta kenderaan komersil.

Setakat jam 2 petang tadi, aliran trafik dilihat lancar tanpa sebarang kesesakan di arah keluar dari semua plaza tol berkenaan.

Selain itu, khemah petugas JSPT termasuk Unit Peronda Lebuhraya Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga masih ditempatkan berhampiran plaza tol utama keluar dari ibu negara untuk memudahkan pemantauan lalu lintas dan mengatur gerak pasukan sekiranya berlaku kesesakan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata pihaknya menjangkakan penambahan kenderaan akan berlaku secara berperingkat bermula Jumaat sehingga hujung minggu ini.

"Kemungkinan ada penambahan secara berperingkat hinggalah ke hujung minggu ini kerana sekian lama terkurung dan mahu pulang untuk mengunjungi rumah orang yang disayangi.

"Tetapi syarat-syarat PKPP seperti penjarakan sosial dan jumlah penumpang tertentu perlu dipatuhi kerana pasukan pemantau polis yang lain masih ada mengawal dan mengawasi prosedur operasi standard (SOP) ini," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak terlalu ghairah untuk pulang ke kampung sekiranya tiada sebarang keperluan.

"Kita akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang.

"Jangan abaikan undang-undang dan peraturan jalan raya. Elakkan daripada memandu laju, melanggar lampu merah, memotong barisan atau menggunakan lorong kecemasan.

"Pegawai dan anggota kita tidak akan bertolak ansur dalam hal ini dan akan mengambil tindakan tegas dengan memberi saman. Kamera perangkap had laju juga ada di mana-mana," katanya.

Berita Harian X