Jumaat, 12 Jun 2020 | 5:57pm

COVID-19: Satu lagi kematian

PUTRAJAYA: Seramai 103 lagi pesakit COVID-19 pulih menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,168 kes atau 85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes baharu pula sebanyak 33 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini.

Katanya, kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini 8,402 kes dengan jumlah kes aktif sebanyak 1,115 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada 33 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes ialah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 17 kes penularan di dalam negara dan 14 individu bukan warganegara dan tiga kes dalam kalangan warganegara Malaysia.

"Perincian bagi tiga kes dalam kalangan warganegara ialah masing-masing satu kes dari saringan kontak kepada kes positif di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kes saringan pusat tahfiz di Selangor dan kes saringan kepada kes kematian di dalam komuniti," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat satu kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kes kematian sebanyak 119 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-119, iaitu kes ke-8,370 ialah seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun.

"Beliau telah meninggal dunia semalam di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Keningau, Sabah. Ujian saringan ke atas beliau didapati positif COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Jemaah masjid melakukan pemeriksaan suhu menggunakan alatan pengimbas automatik bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19, sebelum memasuki masjid untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan hari ini. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
    Jemaah masjid melakukan pemeriksaan suhu menggunakan alatan pengimbas automatik bagi mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19, sebelum memasuki masjid untuk menunaikan solat jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan hari ini. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
    Berita Harian X