X
Sabtu, 13 Jun 2020 | 12:20pm
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (PIKS), Tan Sri Lee Lam Thye. ARKIB NSTP
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (PIKS), Tan Sri Lee Lam Thye. ARKIB NSTP

Kurangkan kematian jalan raya seperti cegah COVID-19

KUALA LUMPUR: Rakyat diseru membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dengan menerapkan budaya keselamatan serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata setelah dapat mencegah lebih banyak kematian COVID-19, kini adalah masa yang sesuai mencegah kematian di jalan raya.

"Marilah kita semua rakyat Malaysia berusaha untuk tidak hanya mencegah kematian COVID-19 tetapi juga kematian di jalan raya.

"Kita semua harus menerapkan budaya keselamatan. Kehilangan satu nyawa amatlah banyak kesannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, usaha bersama pihak kerajaan dan rakyat menyaksikan aliran penurunan kes jangkitan COVID-19 sehingga mencapai satu angka.

"Sepanjang keseluruhan Perintah Kawalan Pergerakan, jumlah kematian akibat COVID-19 adalah 119 orang.

"Tetapi jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya dari 18 Mac hingga 9 Jun lalu mencatatkan 507 kes dari sejumlah 50,531 kemalangan jalan raya seperti yang didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semalam.

"Kematian ini dapat dicegah sekiranya pemandu kenderaan dan pengguna jalan raya lain lebih berhati-hati, bertimbang rasa, dan patuh pada undang-undang," katanya.

Beliau turut menggariskan tiga perkara perlu dipatuhi orang ramai ketika berada di jalan raya iaitu; mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika pulang ke kampung atau ketika dalam perjalanan ke tempat lain.

Selain itu pemandu dinasihat berhati-hati semasa memandu, untuk mengelakkan kemalangan dan kematian.

"Penunggang motosikal dinasihatkan untuk selalu mematuhi peraturan. Jangan melanggar peraturan lampu isyarat atau bergerak melawan lalu lintas termasuk mereka yang terbabit aktiviti menghantar makanan," katanya.

Beliau berkata, akan lebih tragis jika rakyat Malaysia berakhir dengan kematian di jalan raya selepas mengelakkan kematian COVID-19.

"Dengan pengenalan PKPP dan keputusan kerajaan menarik balik sekatan rentas sempadan, polis menjangkakan jumlah lalu lintas akan lebih tinggi di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara, yang akan menyebabkan kemungkinan berlakunya peningkatan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya.

"Selain kehilangan nyawa, kecacatan kekal, dan kesedihan akibat kemalangan ini, akan berlakunya juga impak negatif kepada hospital dan perkhidmatan kebajikan," katanya.

Beliau berkata, polis trafik mesti menguatkuasakan peraturan jalan raya dengan ketat dan adil.

Dalam perkembangan yang sama, Lam Thye turut menasihatkan amalan penjarakan sosial kereta dan motosikal dengan menjauhkan jarak antara kenderaan dengan selamat ketika berada di lebuh raya dan jalan utama.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X