Isnin, 15 Jun 2020 | 11:28am
Foto hiasan
Foto hiasan

PRK Chini: Patuhi waktu digalakkan keluar mengundi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan proaktif dengan meletakkan maklumat waktu digalakkan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata langkah itu selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak COVID-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang berkuat kuasa.

"SPR berharap pengundi keluar mengundi mengikut 'masa keluar mengundi yang digalakkan' ini.

"Cadangan masa mengundi ini bertujuan mengelak pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan sosial ketika berada di pusat mengundi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

SPR menetapkan PRK DUN Chini, Pahang pada 4 Julai ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun ini, manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, pada 7 Mei lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnin (1,065).

Tempoh kempen dan mengundi PRK DUN Chini turut termasuk dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini.

Sementara itu, Azhar Azizan berkata, sebanyak 20,990 kad pengundi dihantar kepada pengundi di DUN Chini mulai hari ini bagi menggalakkan mereka keluar mengundi, tidak termasuk 18 pengundi awal.

Katanya, pengundi yang menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan dinyatakan dalam kad berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi manakala kad pengundi yang dibawa bagi memudahkan tujuan semakan.

Beliau berkata, pengundi yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan di portal SPR pengundi.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)(SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dihantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-88927018.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X