Isnin, 15 Jun 2020 | 3:04pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini singgah di sebuah kedai roti tempayan di Pekan untuk menikmati santapan. - Foto FB ISTANA NEGARA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini singgah di sebuah kedai roti tempayan di Pekan untuk menikmati santapan. - Foto FB ISTANA NEGARA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menziarahi dan menyantuni golongan memerlukan di Pekan, Pahang. - Foto FB Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menziarahi dan menyantuni golongan memerlukan di Pekan, Pahang. - Foto FB Istana Negara

Agong pandu sendiri, santai santap roti tempayan

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini singgah di sebuah kedai roti tempayan di Pekan untuk menikmati santapan.

Facebook (FB) Istana Negara memuatkan beberapa gambar Seri Paduka bersendirian menikmati roti tempayan yang dihidangkan dalam pinggan, tanpa sebarang protokol dan penuh santai duduk di atas bangku plastik yang disediakan di kedai terbabit.

Baginda ketika itu dalam perjalanan dari Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih ke Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Sungai Soi yang menempatkan 40 individu kurang bernasib baik.

Terdahulu pada Program Ziarah Kurniaan Ampun Kasih anjuran MUIP, Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni dua keluarga kurang bernasib baik di Jalan Rompin Lama.

Seri Paduka berkenaan menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga Zahara Abdul Karim dan keluarga Mohd Sallehmudin Ismail.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menziarahi dan menyantuni golongan memerlukan di Pekan, Pahang. - Foto FB Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menziarahi dan menyantuni golongan memerlukan di Pekan, Pahang. - Foto FB Istana Negara

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan untuk ke Kompleks Asnaf MUIP, tiba pada kira-kira jam 12.50 tengah hari dan disambut oleh Setiausaha MUIP, Datuk Ahmad Hairi Hussain dan pengurus kompleks, Nor Rosyidah Mohamed Tahir.

Dalam titah ringkas, Seri Paduka berkongsi mengenai bahaya pandemik wabak COVID-19 dan menasihatkan semua penghuni untuk turut sama membantu usaha kerajaan menamatkan penularan wabak terbabit.

"Saya minta semua penghuni di sini untuk sama-sama menjaga kesihatan dan kebersihan seperti selalu membasuh tangan. Jaga-jaga supaya wabak COVID-19 tidak sampai ke sini," titah Seri Paduka.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah turut meninjau keadaan asrama dan mengurniakan sumbangan kepada penghuni kompleks yang beroperasi sejak 2010 itu dan kini menempatkan penghuni berusia antara dua tahun hingga 95 tahun.

Seorang daripada penghuni, Abdul Latif Lim Abdullah, 44, yang juga orang kurang upaya (OKU), mengakui teruja untuk bertemu Al-Sultan Abdullah yang sebelum ini hanya dilihatnya di kaca televisyen.

"Saya terkejut juga bila dapat lihat Tuanku di depan mata dan sebenarnya agak kekok untuk berada di depan Seri Paduka kerana saya tidak biasa berada begitu dekat dengan orang kenamaan," katanya.

Norsalmiah Boon, 47, pula menyifatkan kunjungan Al-Sultan Abdullah sebagai pemberi semangat kepada dirinya dan rakan tidak bernasib baik di situ selain tersentuh melihat keperibadian Seri Paduka menyantuni mereka.

"Rakyat Pahang sudah sedia maklum dengan keperibadian keluarga Diraja Pahang yang sangat mengambil berat perihal rakyat dan hari ini, saya berpeluang menyaksikannya sendiri. Al-Sultan Abdullah sendiri bertanya keadaan kami di sini.

"Walaupun kami orang yang kurang bernasib baik, tetapi saya berasakan kami adalah antara yang bertuah kerana berpeluang dapat berjumpa dengan Seri Paduka. Ini juga rezeki yang tidak disangka," katanya.

Berita Harian X