Khamis, 18 Jun 2020 | 4:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: Jumlah pesakit pulih hampir 95 peratus

PUTRAJAYA: Jumlah kes pulih daripada COVID-19 kini sudah menghampiri 95 peratus dengan pertambahan 127 kes pulih yang dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan jumlah berkenaan, jumlah kumulatif sebanyak 8,000 kes atau 93.8 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Katanya, sebanyak 14 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 di negara ini sebanyak 8,529 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan sebanyak 408 kes.

Beliau berkata, daripada 14 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini, tiga kes ialah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang membabitkan dua warganegara Malaysia dan seorang pemastautin tetap.

"Daripada 11 kes penularan di dalam negara, tujuh kes bukan warganegara, manakala empat kes dalam kalangan warganegara Malaysia.

"Bagi tujuh kes jangkitan dalam negara oleh rakyat tempatan, sebanyak dua kes dikesan di Kuala Lumpur iaitu satu kes dikesan sebagai kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19, iaitu kes ke 8,455 dan kes ke 8,508. Mereka ini rakan serumah.

"Kes kedua pula kontak rapat kepada kes positif COVID-19 kes ke 8, 498 yang juga rakan serumah.

"Di Selangor, kita kesan satu kes positif iaitu ahli keluarga kepada kes ke 8,368, manakala di Sarawak pula sebanyak dua kes dikesan ketika saringan di tempat kerja sektor pembinaan.

"Masing-masing satu kes di Sabah dan Perak, iaitu satu kes dikesan menerusi saringan orang kena tahan (OKT) di lokap di Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang dan saringan sebelum memohon pulang ke negara asal beliau," katanya.

Bagi perincian empat kes penularan COVID-19 dalam negara oleh penduduk tempatan, Dr Noor Hisham berkata, dua kes dikesan di Kuala Lumpur iaitu Kluster Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil. Mereka ialah kakitangan bertugas di sana.

"Sarawak dua kes, iaitu satu kes saringan prapembedahan di Hospital Umum Sarawak, Kuching dan satu kes saringan untuk ke luar negara atas urusan penting," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes aktif dan jumlahnya kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

"Ini menjadikan jumlah kes yang masih di rawat di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak empat kes dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya menerusi Facebook, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham, berkata tiada pertambahan kes aktif dan jumlahnya kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X