Sabtu, 20 Jun 2020 | 12:57pm
Calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain melambai kepada penyokong selepas selesai proses penamaan calon, hari ini. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Calon Barisan Nasional (BN) PRK DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain melambai kepada penyokong selepas selesai proses penamaan calon, hari ini. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

PRK Chini: Mohd Sharim pilihan tepat wakili BN

KUANTAN: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain dianggap pilihan tepat untuk meneruskan legasi kecemerlangan bekas wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Anak jati FELDA Chini 3, Norazura Mohd Ali, 43, berkata pengalaman Mohd Sharim yang mendapat bimbingan Abu Bakar, menjadi satu kelebihan untuk calon BN itu pada PRK ini.

Katanya, walaupun tidak mengenali Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Kuantan itu secara dekat, beliau yakin Mohd Sharim memiliki kewibawaan sebagai pemimpin sejati.

"Selaku anak peneroka, beliau pasti memahami kehendak golongan peneroka, sekali gus menjadi pilihan tepat untuk menjadi wakil rakyat DUN Chini," katanya.

Sementara itu, balu kepada Allahyarham Abu Bakar, Datin Seri Razana Fatin Abdullah @ Razali, 46, juga yakin Mohd Sharim mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan berkesan jika diberi mandat pada 4 Julai nanti.

Katanya, pilihan pucuk pimpinan parti adalah tepat dengan kehendak masyarakat setempat yang inginkan anak jati peneroka FELDA Chini memimpin mereka.

"Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang memberi peluang kepada generasi muda untuk meneruskan legasi kepemimpinan generasi peneroka di Chini.

"Kepercayaan sama turut diberikan oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang penuh yakin terhadap calon muda yang sememangnya tidak asing lagi untuk meneruskan kelangsungan pembangunan DUN Chini.

"Kini, terpulang kepada pengundi membuat pilihan terbaik dalam mencari wakil rakyat untuk memimpin mereka," katanya.

Razana Fatin berkata, sebagai peneroka FELDA Chini serta pengundi di DUN berkenaan, beliau juga sedia membantu calon BN dalam usaha menarik sokongan pemilih di kawasan itu.

Mohd Sharim akan ditentang dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pekan dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

PRK DUN Chini yang dijadualkan pada 4 Julai ini diadakan susulan kematian Abu Bakar akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.

Berita Harian X