Ahad, 21 Jun 2020 | 11:28am

'Tiada pilihan, terpaksa hidup bersama COVID-19'

SEJAK mula dikesan di China pada Disember lalu, COVID-19 menjadi igauan ngeri dunia. Malaysia pantas memperkenalkan PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang virus itu dan kini memasuki fasa pemulihan pada masa sama, kebajikan warga kita di luar negara juga tidak diabaikan.

Wartawan BH, Rafidah Mat Ruzki menemu bual Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Protokol Kementerian Luar, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah yang mengetuai Pasukan Bertindak COVID-19 kementerian berkenaan.

Datuk Seri Dr Adham Baba

Soalan (S): Apa rancangan dan pelan tindakan dirangka Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan usaha sepanjang PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) tidak sia-sia?

Jawapan (J): Kita kini sudah sampai ke fasa pemulihan. Apa yang berlaku pada hari ini hasil tindakan diambil sebelum ini iaitu PKP, prosedur operasi standard (SOP), penyediaan kemudahan mencukupi dan rawatan yang baik. Kita bersyukur kadar kesembuhan di Malaysia paling tinggi di dunia iaitu hampir 86 peratus berbanding kadar dunia, iaitu 46 peratus secara purata. Kenapa? Kerana rawatan diberikan serasi dengan pesakit yang dimasukkan ke hospital COVID-19.

Saya sebagai menteri mengisytiharkan kawasan wabak dan saya juga wartakan semua pusat kuarantin dan hospital COVID-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Saya juga serahkan kuasa kepada agensi lain di bawah akta sama, kepada polis, tentera dan kementerian lain untuk laksana tanggungjawab penguatkuasaan.

S: Boleh perincikan pendekatan Cegah dan Didik, Amal, Patuh dan Pantau (CAPP) untuk Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) dalam fasa pemulihan?

J: Apabila kita mendapati penularan COVID-19 berkurangan sejak Mei, kita jangka keluk itu mula mendatar. Apabila masuk Jun pada fasa PKPB, KKM perlu merancang supaya kerja untuk memastikan penularan COVID-19 disekat sepenuhnya oleh komuniti. Maka, wujud DRRP yang perlu dilakukan pada peringkat negeri dan daerah. Pada waktu itu, kita melihat jentera pada peringkat daerah melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk berfungsi memastikan 154 daerah di negara ini boleh sekat penularan COVID-19 dengan lebih baik melalui DRRP.

Ada tiga individu utama pada peringkat itu, iaitu Pegawai Daerah, Pegawai Kesihatan Daerah dan Ketua Polis Daerah. Tiga 'jeneral perang' ini penting untuk menggerakkan jawatankuasa peringkat daerah melaksanakan SOP dan slogan normal baharu seperti 3S (elak tempat sempit, sesak, sembang atau bertutur pada jarak dekat) boleh dilaksanakan di daerah. Mereka sebenarnya sudah melaksanakannya. Saya sudah ke daerah di beberapa negeri untuk memaklumkan tanggungjawab daerah dan mereka sebenarnya sudah bersedia, sebab itu kita boleh kekalkan Zon Hijau di banyak daerah.

Namun, untuk ke komuniti dan individu, kita tidak boleh guna jentera pada peringkat daerah sepenuhnya, sebaliknya ke kawasan lebih kecil iaitu mukim, bahagian, sub zon dan presint. Ada 1,178 mukim atau kawasan kecil di seluruh negara. Di sini peranan komuniti dan individu untuk melaksanakan SOP normal baharu. Untuk peringkat komuniti, kita unjurkan program CAPP, didik mereka melalui penyebaran risalah dan muat turun aplikasi MySejahtera kerana ia ada maklumat COVID-19 dan boleh mengesan kontak rapat dan di mana saringan boleh dijalankan.

Akta 342 tidak lain ialah untuk kawal dan cegah. Penyakit berjangkit nak tunggu vaksin lama lagi, jadi sebelum tunggu vaksin, kita perlu laksanakan perlindungan diri. Adalah amalan atau tingkah laku yang mahu kita terapkan dalam masyarakat di seluruh negara, yang mengekang dan elakkan keluarga daripada jangkitan seterusnya. Kita juga tidak mahu perhimpunan ramai kerana penyebaran COVID-19 paling mudah adalah melalui perhimpunan ramai selain perbualan secara dekat. Amalkan 3W iaitu wash atau cuci tangan dengan kerap, wear iaitu pakai pelitup muka dan warn iaitu ingat mengingati sesama sendiri.

Orang awam juga perlu amal sikap bertanggungjawab untuk tulis nama, nombor telefon yang betul apabila masuk premis bagi memudahkan pengesanan kontak rapat jika ada kes jangkitan. Elemen pantau oleh pemimpin setempat seperti Jawatankuasa Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI), kita ada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), jawatankuasa kampung, surau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), manakala pada peringkat daerah kita ada pegawai daerah yang jaga dan pantau. Sektor sosial paling lambat kita buka, manakala kebanyakan sektor mula dibuka pada fasa pemulihan ini kecuali membabitkan perhimpunan ramai.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Foto Aizuddin Saad

S: Ketika jangkitan masih tinggi sebelum CAPP diperkenalkan, kawasan mana kekal hijau susulan pemerkasaan komuniti?

J: Kita ada bukti di Perlis, walaupun kami menjalankan saringan bersasar. Perlis antara negeri terawal bebas COVID-19, tetapi kita belum isytiharkan kawasan putih kerana sebagai pintu masuk dari Thailand, kita perlu sentiasa berjaga-jaga, bila-bila masa negara jiran boleh alami peningkatan mendadak kes COVID-19. Justeru, kawalan sempadan perlu terus diperketatkan.

Jika tiada program komuniti, tidak tahu bagaimana caranya. Apabila ada program tertentu, komuniti boleh amalkan. Contohnya dulu kita ada program untuk kawal jangkitan denggi, kita tubuhkan COMBI. Kita ada kira-kira 3,000 pasukan dan 26,000 ahli jalankan kempen, gotong-royong serta menyedarkan masyarakat mengenai denggi. Untuk COVID-19, kita belum ada pasukan sedemikian.

Pada peringkat kementerian, kita ada Komuniti Sihat Pembangunan Negara (KOSPEN). Sekiranya kita gerakkan KOSPEN, ia akan jadi pasukan yang menyedarkan masyarakat selain kerjasama Kelab Rukun Tetangga (KRT), ketua zon dan jawatankuasa kampung serta penghulu. Mereka yang jadi barisan hadapan terkini dan bermula sejak 10 Jun lalu. Kita juga jadikan program COMBI hibrid, iaitu menyalurkan maklumat mengenai COVID-19 kepada pasukan ini. Cuma aktiviti mereka tidak boleh rapat, perlu amal penjarakan sosial serta pakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Apabila digabungkan sebagai satu kelompok besar, saya percaya mereka bukan sahaja dapat kesedaran, tetapi boleh juga kawal kemasukan COVID-19 dalam kawasan mereka.

S: Bagaimana dengan pematuhan dalam komuniti warga asing dan kerjasama kerajaan negeri?

J: Kita berdepan masalah ada dua kumpulan warga asing, yang sah dan tanpa permit. Di sesetengah kawasan yang kita laksanakan PKP Diperketatkan (PKPD), kita asingkan ke Depoh Tahanan Imigresen (DTI), kemudian timbul kes jangkitan di situ.

Untuk mereka yang sah dan ada dalam sektor industri, kita wajibkan mereka jalani saringan jika mahu bekerja semula. Pada masa sama, majikan dan kedutaan asing perlu main peranan dan ini kita dapatkan bantuan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengenai kerjasama kerajaan negeri, semua menteri besar, ketua menteri sudah adakan pertemuan, mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam perbincangan itu, kita maklumkan status dan strategi keluar untuk mereka selaraskan pelaksanaan program masing-masing.

S: Adakah Malaysia mampu capai situasi bebas COVID-19, sudahkah kita bersedia melaksanakan strategi keluar?

J: Strategi keluar memang sedang dirangka jangka masa dan kaedah pelaksanaannya. Kita yakin akan dapat sifar COVID-19 dengan syarat jumlah pesakit discaj makin ramai dan kes baharu makin kurang. Akan sampai suatu hari nanti, semua pesakit tidak lagi dirawat di hospital dengan syarat tiada jangkitan baharu dan hanya kes kecil yang boleh dikawal.

Kawalan sempadan diperketatkan. Jika rakyat patuh dengan CAPP dan DRRP, Insya-Allah kita tidak perlu lagi PKP. Ketika ini, saya masih wartakan tujuh hospital COVID-19 dan kebanyakan hospital hibrid sudah mula selesaikan kes tertangguh. Jangan lupa, sepanjang COVID-19 ini, kita ada banyak kes tertangguh perlu diselesaikan. KKM berdepan cabaran baharu untuk selesaikan kes tertunggak kerana mahu menangani COVID-19.

Kita ada keyakinan Malaysia mampu mencapainya seperti Korea dan New Zealand, tetapi jangan lupa China kini merekodkan kes semula. Ia mungkin berpunca daripada kes import atau virus itu ada di kawasan tertentu. Kita kini perlu hidup bersama COVID-19 kerana tidak ada pilihan.

Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah

S: Apa latar belakang Pasukan Bertindak COVID-19 Kementerian Luar?

J: Penubuhan pasukan dianggotai 32 kakitangan ini diarahkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar. Ia ditubuhkan pada 15 Mac, khusus untuk memantau situasi pandemik di seluruh dunia, mempunyai mandat melaporkan kepada Mesyuarat Khas Menteri Mengenai COVID-19. Pasukan ini bertanggungjawab memaklumkan apa berlaku di luar negara, termasuk pemantauan COVID-19, situasi rakyat di luar dan siapa perlu bantuan.

S: Bagaimana peranan Wisma Putra?

J: Ketika kita mengumumkan PKP serta sekatan keluar masuk, ia dalam tempoh hampir sama dengan pelbagai negara yang umum sekatan pergerakan serta penggantungan perkhidmatan penerbangan. Ketika itu, ada rakyat kita sedang bercuti di luar negara dan terkandas. Pasukan petugas mempunyai mandat untuk bantu mereka pulang. Kita arahkan perwakilan di sana melihat di mana rakyat kita terkandas sebelum kita fikir cara membantu mereka.

Pertama, kita kelaskan mereka yang amat memerlukan bantuan, terutama yang berada di luar negara untuk jangka pendek, melancong dan mungkin hanya ada tiket penerbangan pulang serta tiada duit lain untuk pulang atau kegunaan masa kecemasan. Pasukan ini beroperasi 24 jam sehari kerana mengambil kira perbezaan waktu di negara lain seperti di Amerika Syarikat dan Amerika Latin.

Apabila keadaan membimbangkan dan perlu tindakan segara, kita ambil tindakan segera, termasuk cari penerbangan yang masih terbang ke Malaysia ketika itu serta bantu untuk ubah laluan dengan melalui negara ketiga jika penerbangan tidak lagi ke Malaysia.

Kedua, bagi negara yang sudah gantung operasi penerbangan komersial, satu cara boleh dilakukan ialah mengatur penerbangan melalui kerjasama kerajaan dengan kerajaan, kita boleh mohon kebenaran untuk pendaratan penerbangan tidak dijadual atau sewa khas. Contohnya, India antara negara yang paling ramai Malaysia terkandas selepas sempadan negara itu ditutup, ada lebih 4,000 orang sebagai pelancong jangka pendek.

Mereka ada tiket penerbangan balik, tetapi kerana penggantungan penerbangan komersial, ia tidak boleh dilakukan. Kita bincang dengan Malaysia Airlines, Malindo dan AirAsia yang sanggup melakukan penerbangan ke negara itu sebelum kita minta kebenaran mendarat. Alhamdulillah berjaya dilakukan dengan baik dan lancar, namun bukan percuma.

KETUA Protokol Kementerian Luar, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Protokol Kementerian Luar, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

S: Berapa kos membawa pulang rakyat kita dari luar negara, siapa menanggungnya?

J: Apabila berlaku penggantungan penerbangan komersial, ia akan menyebabkan kenaikan tambang. Apabila terpaksa gunakan perkhidmatan transit, ia akan membabitkan kos berkali ganda. Bagi negara yang susah dapatkan penerbangan, kos boleh sehingga RM20,000 seperti di Amerika Latin dan Afrika.

Kerajaan mungkin tiada kemampuan untuk membantu menanggung kos penerbangan semua rakyat kita di luar negara, yang boleh menelan belanja sehingga RM250 juta. Namun, kita dapat tajaan, bantuan syarikat Malaysia yang bermurah hati selain yang diselaraskan oleh MIC atau individu lain. Kita sentiasa bekerjasama dan mengucapkan terima kasih. Itu antara caranya.

Sekiranya ada yang dapat penerbangan, tetapi kosnya di luar kemampuan, kita boleh bantu sedikit sebanyak dengan menanggung sebahagian kos. Dalam kes tertentu, ada yang kita dapat sahkan kalau tidak dibantu, mereka akan terus berada dalam keadaan kritikal, kebanyakan mereka adalah pelancong. Jika rakyat Malaysia, contohnya pelajar, kita tidak beri bantuan tanggung kos penerbangan kerana mereka sepatutnya berada di negara itu.

Dalam kes terkandas membabitkan jumlah kecil, contohnya di Afrika, kita bantu untuk mereka berada di negara itu buat beberapa ketika dan kita mohon bantuan negara yang mahu menjalankan repatriasi rakyat masing-masing untuk turut bawa pulang rakyat kita.

Cabaran lain adalah kuarantin di negara luar yang tidak memungkinkan transit atau sesiapa yang tiba di negara itu perlu dikuarantin. Contohnya, ada kes rakyat kita berjaya dibawa pulang dari Fiji, tapi mereka ke Auckland untuk penerbangan sambungan dan New Zealand mensyaratkan mereka dikuarantin. Ada situasi rakyat kita tidak mohon bantuan perwakilan dan ambil penerbangan ke Singapura dari Eropah, tetapi kemudian diarah berpatah balik ke Eropah.

S: Apa kategori rakyat kita di luar negara dikategorikan dan jenis bantuan dihulurkan?

J: Pada peringkat awal, kami mengenal pasti 8,361 orang ketika itu, yang dikelaskan terkandas, kategori kritikal atau separuh kritikal yang tidak boleh berdepan situasi itu dalam tempoh lama, mereka perlu pulang atau berdepan masalah. Kerajaan luluskan bantuan kepada perwakilan untuk memastikan mereka selamat, makan minum terjamin.

Kita tiada keupayaan bayar kos penginapan mereka di hotel, jadi ada antara mereka terpaksa diletakkan di bangunan kedutaan atau asrama yang masih lagi memerlukan peruntukan untuk kos makan minum. Sehingga 17 Jun, kita berjaya bawa pulang 20,965 rakyat kita dari luar negara termasuk yang pada pandangan Kementerian Luar, bukan terkandas tetapi secara sukarela pulang.

Kita perlu memudah cara urusan mereka pulang walaupun mereka bayar kos kerana kebanyakan negara menggantung penerbangan. Lebih 8,000 adalah mereka yang ke luar negara untuk jangka pendek. Alhamdulillah daripada jumlah itu, kini hanya berbaki 193 orang pada peringkat kritikal dan masih berada di luar negara, iaitu 189 ahli kumpulan jemaah tabligh yang ditahan pihak berkuasa India dan bakinya bertaburan di Afrika.

Masalah di Afrika, rakyat kita berada pada jarak yang jauh antara sesama mereka, jadi sukar untuk bantu. Kategori kurang kritikal, ada 434 orang yang mungkin mampu menanggung kos sara hidup sementara penerbangan dimulakan semula atau apa cara yang kita fikirkan untuk bawa mereka pulang. Kebanyakan mereka bekerja dan sudah tamat tempoh kontrak, contoh 30 rakyat kita di Nigeria yang tamat perkhidmatan di pelantar minyak dan dijadualkan pulang pada April lalu.

Namun, ekoran penggantungan dan tiada penerbangan lain, mereka terkandas dua bulan, tetapi dalam keadaan baik dan tempat tinggal disediakan majikan. Lebih separuh rakyat kita yang pulang adalah pelajar di Mesir, India dan Indonesia. Yang pulang atas tanggungan sendiri lebih 4,000 orang, pelajar kita di Indonesia juga ramai sudah kembali, lebih 3,000 orang, tidak termasuk di India, Turki dan Maghribi.

S: Boleh Datuk terangkan mengenai kerjasama serantau dalam usaha ini?

J: Itu antara cara kita selesaikan masalah rakyat Malaysia terkandas di luar negara. Kita ada kerjasama dengan banyak negara contohnya Brunei untuk membawa rakyat Malaysia terkandas di Mesir. Mereka dibawa ke Brunei dan pulang ke Kuala Lumpur.

Pada masa sama, penerbangan untuk membawa pulang mereka dari Brunei turut membawa bersama rakyat negara itu. Penyusunan atau kerjasama seperti ini berlaku dengan banyak negara termasuk Singapura, Arab Saudi dan Iraq. Ada juga negara lain hantar pesawat ke Malaysia untuk bawa pulang rakyat masing-masing dan kita guna kesempatan itu untuk pastikan rakyat kita di negara terbabit boleh dibawa bersama.

Bagi rakyat Malaysia yang mampu bayar tambang, perwakilan dalam beberapa keadaan berhubung dan bekerjasama terus dengan syarikat penerbangan. Contoh, perwakilan Malaysia di Myanmar berbincang dengan syarikat penerbangan untuk bawa rakyat kita pulang dan ambil rakyat mereka kembali. Ini kita tidak lakukan dengan Indonesia kerana pada satu tahap, penerbangan antara dua negara tidak dihentikan.

Ada ketika pesawat Malaysia Airlines disewa untuk bawa rakyat kita dari Surabaya. Cara lain, kerajaan tanggung sepenuhnya kos tetapi terhad tiga atau empat misi seperti bawa pulang rakyat kita dari China dan yang berada di Wuhan, dari Iran, Itali dan terakhir seluruh pelajar kita di Temboro, Indonesia. Kita juga mohon bantuan negara lain untuk bawa rakyat kita keluar supaya dapat sambung perjalanan ke Malaysia melalui negara ketiga.

Ada beberapa kes di Afrika, repatriasi dilakukan kerajaan Perancis menggunakan Air France dari Benin atau Gabon. Jika rakyat Malaysia tidak terlalu ramai, dua atau lima orang di satu tempat, kita mohon bantuan Perancis dan sambung penerbangan ke Malaysia.

Ada juga dari Peru terpaksa melalui Mexico dan tinggal lebih seminggu di negara itu sebelum pulang. Ia antara cara kita dan amat berkesan untuk membawa pulang lebih 20,000 rakyat Malaysia. Kita tidak boleh kelaskan semua rakyat Malaysia terkandas, walaupun secara teknikal mereka terkandas kerana tiada penerbangan komersial beroperasi. Kalau semua dianggap terkandas, semua kira 450,000 rakyat kita di luar negara boleh dikatakan terkandas.

Berita Harian X