Ahad, 21 Jun 2020 | 6:51pm
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman. - NSTP/Aizuddin Saad
Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman. - NSTP/Aizuddin Saad

Ahli Parlimen Sik Pengerusi MADA baharu

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mulai 16 Mei lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata, pemilihan Ahmad Tarmizi dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Ya kita melantik Pengerusi MADA yang baharu iaitu Ahmad Tarmizi berkuat kuasa mulai 16 Mei lalu sehingga 15 Mei 2022 selepas mendapat perkenan Agong," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke MADA, di sini, hari ini.

Pada sidang media yang sama, Ahmad Tarmizi, berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui MADA.

Beliau juga mahu terus memperkasakan petani di bawah MADA sehingga mampu menghasilkan 75 peratus hasil padi negara sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup golongan terbabit.

"Pada masa sama, MADA akan terus menyantuni petani dengan menyelami masalah yang dihadapi dan kita akan atasi masalah mereka bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Saya sudah mendengar taklimat yang penting daripada pengurusan MADA, jadi sudah tentu MADA perlu jadi agensi yang ke hadapan kepada rakyat untuk mengekalkan jelapang padi di Kedah ini. Saya juga ingin melihat pegawai MADA turun ke bawah melihat apa masalah sebenar di peringkat petani dan halangan yang boleh diatasi bersama dengan agensi lain yang terbabit," katanya.

Ahmad Tarmizi yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti Malaya, Diploma Perundangan Syariah Univeristi Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Diploma Pendidikan Islam dan Bahasa Arab daripada Institut Perguruan Islam Darul Aman (IPDA).

Beliau berpengalaman luas dalam pengurusan dan pernah dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Koordinator Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) selain menjadi guru Pendidikan Islam pada 2007 hingga 2013.

Berita Harian X