Ahad, 21 Jun 2020 | 7:59pm
Keadaan banjir di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong, Batu Pahat, selepas hujan lebat yang bermula sekitar 5 pagi semalam. - Foto BERNAMA
Keadaan banjir di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong, Batu Pahat, selepas hujan lebat yang bermula sekitar 5 pagi semalam. - Foto BERNAMA

Banjir di Johor kerana fenomena Ayunan Madden-Julian

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir yang melanda lima daerah di Johor ketika ini adalah disebabkan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO), mengakibatkan kawasan setempat itu menerima curahan hujan lebih tinggi berbanding kawasan lain.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang, berkata fenomena itu mengakibatkan penumpuan kelembapan berlaku pada skala besar di bahagian selatan negara ini.

"Bagaimanapun tidak semua kawasan kawasan akan menerima hujan yang lebih dan menyebabkan banjir.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi UKM, Prof Dr Fredolin Tangang. - Foto fail NSTP
Pakar Klimatologi dan Oseanografi UKM, Prof Dr Fredolin Tangang. - Foto fail NSTP

"Oleh itu, ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia perlu diambil perhatian bagi menentukan kawasan mana berisiko mendapat curahan hujan lebih tinggi dalam masa satu hingga dua hari berikutnya.

"Ini kerana secara puratanya fenomena ini muncul dalam 20 hingga 60 hari sekali dan mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu untuk ia bergerak dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Setakat ini, Muar, Batu Pahat, Tangkak, Kluang dan Pontian mengalami banjir.

Seorang penduduk di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong, Batu Pahat, menunjukkan keadaan rumahnya yang dinaiki air selepas hujan hampir enam jam. - Foto BERNAMA
Seorang penduduk di Kampung Parit Pulai, Parit Sulong, Batu Pahat, menunjukkan keadaan rumahnya yang dinaiki air selepas hujan hampir enam jam. - Foto BERNAMA

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di sekitar Kampung Parit Kassim 2, Batu 18, Air Hitam, Muar. - Foto ihsan APM
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di sekitar Kampung Parit Kassim 2, Batu 18, Air Hitam, Muar. - Foto ihsan APM

Pemantauan ramalan cuaca di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, meramalkan hujan hingga esok (Isnin) dan disusuli ribut petir hingga 26 Jun depan, sementara pada 27 Jun diramalkan tiada hujan sepanjang hari.

Tangang yang juga Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Fakulti Sains dan Teknologi UKM berkata, lazimnya bulan Jun hingga Ogos yang dimodulasi oleh Monsun Barat Daya membawa keadaan cuaca kering dan panas.

"Bagaimanapun, sejak beberapa hari lalu keadaan sebaliknya berlaku dan ini berkait dengan fenomena MJO, iaitu gangguan cuaca berskala besar yang terjadi di bahagian barat Lautan Hindi dan bergerak ke Lautan Pasifik merentasi Malaysia dan Indonesia.

"Menerusi kajian yang Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar UKM laksanakan, impak fenomena ini memberi kesan terhadap curahan hujan yang bergantung kepada musim.

"Jika berlaku pada musim tengkujuh, MJO ini boleh memperkukuhkan penumpuan kelembapan yang membawa banjir besar di Johor pada Disember 2006 di Johor dan juga di Kelantan pada Disember 2014.

"Apabila fenomena ini berlaku, kandungan kelembapan udara akan meningkat di rantau ini dan ini menjadikan cuaca menjadi lebih aktif dan meningkatkan jumlah curahan hujan iaitu keadaan yang berlaku sekarang adalah manifestasi impak ayunan ini," katanya.

Banjir yang melanda lima daerah di Johor ketika ini adalah disebabkan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO), mengakibatkan kawasan setempat itu menerima curahan hujan lebih tinggi berbanding kawasan lain. - Foto ihsan APM
Banjir yang melanda lima daerah di Johor ketika ini adalah disebabkan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO), mengakibatkan kawasan setempat itu menerima curahan hujan lebih tinggi berbanding kawasan lain. - Foto ihsan APM

Sementara itu, Profesor Pusat Kajian Pembangunan, Sosial & Persekitaran (FSSK) UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, berkata kebiasaan pada Mei dan Jun hanya mencatatkan purata hujan antara 130 hingga 190 milimeter (mm) dengan Monsun Barat Daya bermula bermula 18 Mei hingga September ini.

"Banjir ini disebabkan berlakunya musim peralihan monsun yang lewat sedikit dari monsun timur laut ke monsun barat daya. Pada musim peralihan, angin sentiasa berubah-ubah.

"Keadaan ini menyumbang pembentukan hujan dan ribut petir pada sebelah petang. Oleh itu keamatan hujan agak tinggi pada masa-masa ini dan berterusan sehingga beberapa hari.

Profesor Pusat Kajian Pembangunan, Sosial & Persekitaran (FSSK) UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman. - Foto fail NSTP
Profesor Pusat Kajian Pembangunan, Sosial & Persekitaran (FSSK) UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman. - Foto fail NSTP

"Oleh sebab itu, Johor mengalami hujan luar biasa dan lima daerahnya berlaku banjir. Ini disebabkan peralihan monsun dan ke arah monsun barat daya, pembentukan garis badai boleh berlaku. Fenomena ini membawa hujan lebat, angin kencang di kawasan pantai barat terutama waktu petang," katanya.

Katanya, garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk kesan penumpuan angin dan atmosfera yang tidak stabil yang membawa hujan lebat yang menyebabkan kawasan rendah akan digenangi air sehingga satu hingga dua meter.

"Banjir di Muar dan Pontian adalah disebabkan keamatan hujan yang tinggi selama beberapa jam dan ketidakupayaan saliran dan sungai menampung luahan air banjir serta sistem perparitan tidak sempurna di taman perumahan dan kawasan penempatan.

"Bagaimanapun, banjir tidak mungkin berlaku di seluruh negara kerana pembentukan garis badai mempunyai jangka hayat yang pendek (jam hingga beberapa hari), jadi kemungkinan berlakunya banjir di negeri lain agak kecil kebarangkalian melainkan hujan berterusan," katanya.

Berita Harian X