Isnin, 22 Jun 2020 | 3:05pm

PKPP: 41 ditahan sertai aktiviti karaoke, pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 97 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 41 daripadanya membabitkan kesalahan aktiviti di pusat karaoke atau hiburan keluarga.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 12 kesalahan lagi membabitkan aktiviti refleksologi atau urut dan baki 44 ialah aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial.

"Daripada jumlah penahanan pada hari ke-12 PKPP itu semalam, 28 individu direman manakala 69 lagi dikenakan kompaun.

"PDRM melalui Task Force Operasi Pematuhan membuat 66,518 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP membabitkan 3,538 pasukan pematuhan dan 15,724 anggota," katanya pada sidang media PKPP di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 36 operasi sanitasi awam membabitkan 30 zon di sembilan negeri diadakan semalam, iaitu di 13 di Sarawak dan Sabah (12) serta masing-masing dua operasi di Selangor, Perak, Pahang dan Terengganu.

"Mengenai Ops Sanitasi Awam sejak 30 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melakukan 8,788 operasi sanitasi merangkumi 134 zon," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X