Selasa, 23 Jun 2020 | 10:44am

Teknologi asas pemulihan ekonomi pasca COVID-19

Teknologi dan pendigitalan negara menjadi fokus utama Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi merancakkan ekonomi pasca COVID-19. Ikuti temu bual Wartawan BH, Muhammad Yusri Muzamir dan Ahmad Suhael Adnan bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

S: Apakah peranan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam merealisasikan inisiatif PENJANA?

J: Secara khususnya, MOSTI diberi tanggungjawab melihat bagaimana teknologi boleh digunakan sebagai asas pemulihan ekonomi pasca COVID-19. Kerajaan kenal pasti teknologi sebagai antara sektor pemangkin yang bukan hanya mempercepatkan pemulihan, tetapi juga mentransformasikan ekonomi kita. Antara yang kita lihat dalam ketika wabak ini adalah peningkatan penggunaan teknologi disebabkan kita terpaksa bekerja dari rumah. Banyak syarikat melabur untuk tingkatkan kapasiti teknologi mereka, sama ada dari segi perisian atau keselamatan siber supaya hubungan atau perbincangan yang diadakan dalam talian selamat. Banyak syarikat juga membuat perancangan melabur dalam teknologi supaya sekiranya berlaku apa-apa gangguan pandemik pada masa depan, kesinambungan perniagaan mereka tidak terjejas. Kita melihat ada peningkatan kesedaran dalam kalangan syarikat swasta dan kerajaan untuk meletakkan lebih banyak proses mereka secara dalam talian.

S: Bagaimana YB melihat pendigitalan penyampaian kerajaan membantu dalam perancangan menjana semula ekonomi negara?

J: Kerajaan melihat bagaimana kita boleh meletakkan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian. Antaranya adalah pendigitalan penyampaian kerajaan dengan peruntukan RM20 juta di bawah MOSTI dan Kementerian Kewangan, untuk kita melihat kepada semua perkhidmatan kerajaan yang masih lagi belum beralih kepada digital.

Sekarang ini ada macam-macam yang boleh diakses dalam talian seperti MyEG dan sebagainya, tetapi ada banyak lagi yang boleh kita letakkan dalam talian. Antara inisiatif penting adalah bagaimana kita mahu mempercepatkan pendigitalan kerajaan. Ini bukan hanya memudahkan proses bagi rakyat, tetapi juga meningkatkan kecekapan kerajaan untuk menyampaikan sesuatu.

Satu lagi adalah penyampaian perkhidmatan dalam talian secara menyeluruh. Contohnya, antara perkara yang saya kesal sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah apabila kerajaan umumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Apabila diumumkan, keesokannya kita tengok ramai yang beratur di Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk keluarkan wang. Dalam dunia pasca COVID-19, kita bukan saja mahu mempercepatkan perkhidmatan kerajaan, tetapi untuk rakyat menggunakan e-dompet supaya tidak lagi ada keperluan beratur di BSN dan seumpamanya untuk mengeluarkan BSH (Bantuan Sara Hidup) atau BPN.

S: Adakah kerajaan menyediakan insentif kepada syarikat berkaitan inovasi dan teknologi bagi menyemarakkan lagi proses pendigitalan negara?

J: PENJANA menggariskan Geran Padanan Lonjakan Perusahaan Sosial (SEE). Banyak inovasi sosial yang saya lihat dibangunkan melalui Yayasan Inovasi Sosial Malaysia serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC). Ini adalah inovasi yang datang daripada akar umbi iaitu masyarakat.

Baru-baru ini saya membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) untuk melihat satu cara penyembelihan yang tidak membabitkan ramai orang. Sambutan Aidiladha nanti kita tak mahu terlalu ramai sebab perlu ada penjarakan sosial dan sebagainya. Jadi ada satu inovasi beberapa tahun lalu daripada seseorang dari Perlis yang memang terbabit dalam penternakan lembu. Dia buat satu kandang dan hanya memerlukan antara tiga hingga empat orang sahaja dan dilakukan dengan cepat (sembelih lembu) menggunakan teknologi.

Kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk SEE dan akan gunakan MaGIC serta Yayasan Inovasi Malaysia untuk membiayai idea sosial berskala kecil yang boleh membantu pasca COVID-19.

Selain itu, adalah dana PENJANA Nasional. Ini lebih kepada dana modal teroka membabitkan RM600 juta daripada kerajaan dan RM600 juta daripada sektor swasta yang akan digunakan untuk pelaburan dalam syarikat pemula teknologi.

S: Boleh YB jelaskan apakah fungsi inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang digariskan dalam PENJANA dan apakah matlamatnya?

J: Kerajaan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk NTIS. Ini adalah satu usaha untuk kita menyelesaikan masalah besar negara melalui teknologi. Dalam NTIS, kita akan jemput syarikat tempatan sama ada besar atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk mengguna pakai teknologi bagi tujuan menyelesaikan masalah besar negara. Contohnya, pasca COVID-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenal pasti dua atau tiga masalah besar. Masalah pertama ialah kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing.

Menerusi NTIS, saya diarahkan untuk melihat bagaimana teknologi boleh diguna pakai untuk mengurangkan pekerja asing. Ideanya telah dicadangkan dan akan dijadikan prototaip dalam NTIS. NTIS adalah seperti makmal, yang mana kita hasilkan prototaip dan memberi pembiayaan kepada teknologi baharu yang saya akan umumkan bulan hadapan. Tapi sebagai 'teaser', kita akan melihat kepada sektor pembuatan.

Kedua, Perdana Menteri minta lihat aspek keselamatan makanan. Dalam dunia COVID-19 ini, kita risau sebab apabila sempadan ditutup, kita akan ada masalah dari segi bekalan makanan sebab banyak yang diimport. Dalam NTIS ini, sebagai contoh bagaimana teknologi, sama ada sensor (pengimbas), internet of things (IoT - internet semua benda) boleh membangunkan ladang pintar dengan kos rendah yang boleh meningkatkan hasil dan mengurangkan pekerja asing serta memastikan tahap sara diri negara dalam beberapa item makanan ditingkatkan.

S: Adakah YB sudah memilih pemain industri tertentu untuk terbabit dalam NTIS?

J: Ramai pemain industri yang menunjukkan minat, walaupun sebelum NTIS dilancarkan. Ada banyak syarikat yang mengetengahkan masalah lain yang mereka harap teknologi untuk bantu selesaikan, seperti imigresen, kastam. Kita akan babitkan semua kementerian. Sebenarnya, cadangan saya adalah setiap kementerian mewujudkan jawatankuasa Sandbox masing-masing, kita menyokong projek itu dan Perdana Menteri akan mempengerusikan jawatankuasa pemandu. Kita akan adakan proses permohonan Sandbox yang akan dilancarkan bulan depan. Mereka mesti datang dengan idea atau prototaip yang akan diaudit oleh agensi MOSTI seperti MIMOS, MAGiC.

S: Adakah persekitaran Malaysia bersedia dengan pendigitalan ini, khususnya dalam aspek undang-undang?

J: Antara aspek NTIS yang menarik adalah perundangan, iaitu agensi yang terbabit dengan peraturan dan undang-undang, yang mungkin menjadi penghalang kepada pembangunan industri, dijemput masuk dalam Sandbox untuk memikirkan bagaimana undang-undang atau peraturan itu boleh dipinda untuk memungkinkan teknologi ini berkembang pesat. Contohnya, saya secara tidak rasmi ada sesi libat urus dengan beberapa pengusaha syarikat dron. Kita ada syarikat dron ketiga terbaik di dunia, iaitu Aerodyne (Group). Mereka kata antara penghalang kepada perkembangan teknologi dron di Malaysia adalah perundangan. Dalam hal ini badan pengawal selia dron adalah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang mengawal selia pelbagai peraturan membabitkan ruang udara kita.

S: Bagaimana pula dengan infrastruktur fizikal? Adakah infrastruktur Malaysia mencukupi untuk merealisasikan inisiatif pendigitalan ini?

J: Sekarang, MOSTI diletakkan dalam kluster infrastruktur. Antara yang dibincangkan dalam kluster ini adalah memastikan pelaksanaan stesen 5G yang bagus kerana apa yang kita nak buat perlukan teknologi 5G. Apabila bercakap mengenai kenderaan tanpa pemandu, kita kena bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk pastikan ada teknologi pengesanan yang mencukupi. Ia adalah sebahagian daripada NTIS. Bukan saja soal teknologi, tapi infrastruktur bagi menyokong teknologi itu.

S: Bagaimana inisiatif pendigitalan bagi menjana semula ekonomi negara ini dapat dilaksanakan dengan lancar dalam keadaan isu kemudahan asas seperti akses dan kelajuan internet masih wujud?

J: Ia dalam proses. Kita tak boleh kata nak tunggu sampai liputan yang terbaik sebelum kita mula. Kita boleh laksanakan serentak. Dari segi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dimulakan kerajaan lepas, kita akan teruskan. Benda baik kita teruskan. Itu di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Pelaksanaan 5G kita teruskan kerana itu perkara asas. Liputan digital, akses internet untuk semua masih lagi matlamat kerajaan. Tetapi itu tidak bererti kita perlu perlahankan digitalisasi. Kalau ada tempat yang kita boleh dahulukan pelaksanaan, seperti kawasan bandar, yang ada akses dan kelajuan internet, kita teruskan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

S: Boleh YB jelaskan status peruntukan RM600 juta yang diperuntukkan di bawah PENJANA Nasional?

J: Kita tengah bincang dengan Kementerian Kewangan bagaimana ia akan dilaksanakan dan agensi mana yang akan jadi pemegang dana bagi pihak kerajaan dan RM600 juta yang diletakkan oleh pihak swasta, serta struktur pelaburan. Sama ada kita akan uruskan bersama pihak swasta dan agensi kita atau berikan pada syarikat swasta dengan mandat khusus iaitu perlu labur dalam syarikat Malaysia dan sektor teknologi tertentu. Syarat itu boleh diwujudkan, tapi kita masih lagi tengah bincang.

S: Bila YB sasarkan inisiatif NTIS akan membuahkan hasil?

J: Perdana Menteri mahu hasilnya dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas dilancarkan bulan depan. Selepas lancar, permohonan bermula dan kalau dipercepatkan mungkin mengambil masa sebulan bagi yang sudah ada dalam sistem kita. Permohonan baharu mungkin tiga bulan.

S: Bagaimana YB melihat PKS yang dilihat masih tidak bersedia untuk bergerak ke arah pendigitalan?

J: Peruntukannya menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), namun saya pengerusi pasukan petugas pendigitalan kebangsaan bersama Datuk Saifuddin Abdullah (Menteri KKMM). Kita sedar ada keperluan untuk memastikan sebanyak mungkin PKS terbabit dalam pendigitalan, secepat yang mungkin.

S: Adakah YB melihat COVID-19 telah mempercepat keseluruhan proses pendigitalan?

J: COVID-19, walaupun ia satu musibah dan krisis, saya melihat kepada pepatah Cina yang mengatakan, dalam setiap krisis ada peluang. Ini adalah peluang untuk kita mempercepatkan proses pendigitalan ini. Kita sudah lama cakap mengenai proses pendigitalan, sejak 1998 lagi melalui Koridor Raya Multimedia (MSC), tapi sampai hari ini masih belum tercapai, contoh seperti BSN itu.

S: Berhubung pendigitalan perkhidmatan kerajaan, berapakah kadar kecekapan yang boleh ditingkatkan jika inisiatif ini direalisasikan?

J: Saya tak pasti dari segi peratusan, tetapi saya menjangkakan kecekapan ini boleh ditingkatkan antara sekitar 30 hingga 40 peratus, khususnya jika lebih banyak perkhidmatan kerajaan dapat dibuat secara digital.

S: Apakah proses pendigitalan dalam perkhidmatan kerajaan yang baik buat masa ini dan wajar dijadikan contoh?

J: Contoh terbaik adalah pasport, kad pengenalan dan lesen memandu. Kita antara terkemuka di dunia dalam aspek ini. Pasport kita boleh siap dalam beberapa jam, orang luar negara terkejut. Tapi saya tidak tahu kenapa kita berhenti di situ. Ia sepatutnya diteruskan (ke perkhidmatan lain). Mungkin kita ingat rakyat berurusan itu sahaja dengan kerajaan tetapi sebenarnya rakyat berurusan macam-macam lagi. Banyak lagi lesen, kelulusan yang perlu dibuat. Elok kita lihat semula segala bentuk perkhidmatan kerajaan yang belum lagi beralih kepada digital. Kalau pergi ke laman sesawang kerajaan, kita kena klik pautan yang sebenarnya tidak sepenuhnya dalam talian. Kita masih perlu cetak borang, isi dan hantar semula. Itu bukan digital. Kita nak pendigitalan sepenuhnya. Itu visi kita.

S: Apabila pendigitalan dipercepatkan, sejumlah pekerjaan akan terkesan dan menyebabkan pengangguran. Bagaimana kerajaan bersedia dengan senario itu?

J: Itu mungkin perkara yang perlu diperhalusi dengan lebih mendalam lagi. Tapi saya melihat tak perlu untuk kita buang pekerja, sebaliknya boleh tugaskan semula kepada perkara yang masih memerlukan sentuhan manusia. Saya harap apabila kita mempercepatkan proses pendigitalan kerajaan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) boleh melihat kepada penstrukturan semula jabatan dan jawatan kerajaan supaya mereka ini dapat dilatih semula dan diberi tugasan yang berbeza daripada apa yang mereka buat hari ini. Tetapi saya tak nampak dalam tempoh lima tahun, kerja mereka (kerani) akan jadi 'luput'. Walaupun pendigitalan berlaku, dia akan ambil masa juga sebab akhirnya walaupun kita ada pendigitalan secara menyeluruh, kelulusan, pemprosesan dan lain-lain masih memerlukan pekerja manusia.

S: Kerajaan menubuhkan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bagi memantau pelaksanaan PENJANA. Bagaimana LAKSANA berfungsi dan apa beza dengan instrumen pemantau lain?

J: LAKSANA adalah satu bahagian dalam Kementerian Kewangan yang khusus untuk melihat kepada pelaksanaan (PENJANA) secara harian. Pelaksanaan dan keberkesanan inisiatif dalam PENJANA akan dipantau setiap hari. Sebagai contoh, ini berbeza dengan pemantauan biasa kerana unit ini diberikan lebih banyak peruntukan kakitangan dan kuasa untuk benar-benar memeriksa tahap pelaksanaan setiap langkah di bawah pakej PENJANA. Kalau ada masalah, dapat diselesaikan dengan cepat. Kalau duit belum turun, kita tahu. Kalau peruntukan atau bantuan tidak sampai ke kumpulan sasar, kita tahu dengan cepat dan boleh bertindak. Sebenarnya, ini juga untuk menangani masalah yang kerap dibangkitkan oleh rakyat, bahawa kerajaan Malaysia bagus daripada segi perancangan, tapi bermasalah dalam aspek pelaksanaan. Dalam setiap pelan besar, mesti ada perancangan pelaksanaan. LAKSANA adalah agensi pelaksanaan untuk PENJANA.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X