Selasa, 23 Jun 2020 | 12:39pm
Subky Latif meninggal dunia kerana sakit sindrom myelodyplastic (MDS) iaitu kanser darah. - Foto fail
Subky Latif meninggal dunia kerana sakit sindrom myelodyplastic (MDS) iaitu kanser darah. - Foto fail

Subky Latif meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pengasas akhbar lidah rasmi PAS, Harakah dan bekas wartawan, Ahmad Subky Abdul Latif meninggal dunia kira-kira jam 11.05 pagi tadi.

Seorang anaknya, Dang Fatiha, berkata arwah bapanya meninggal dunia kerana sakit sindrom myelodyplastic (MDS) iaitu kanser darah.

"Arwah bapa meninggal di rumah di Taman Karak Utama, di sisi ibu, Naznah Taha dan lima anak.

"Jenazah akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah selepas solat Zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Rauhatus Sakinah, Batu Caves," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, berita kematian veteran PAS berusia 80 tahun itu dimaklumkan anak-anaknya menerusi satu hantaran di Facebook.

"Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

"Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat, orang-orang soleh. Amin," katanya.

Ahmad Subky adalah pengasas akhbar lidah rasmi PAS, Harakah pada tahun 1978 dan pernah menjadi kolumnis tetap ruangan 'Mens Sana in Corpore Sano' dalam akhbar itu.

Sebelum menyertai PAS, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Berita Harian X