Rabu, 24 Jun 2020 | 12:26pm

3 stesen MRT Laluan Kajang ditutup Sabtu, Ahad ini

KUALA LUMPUR: Tiga stesen Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang akan ditutup pada Sabtu dan Ahad ini untuk kerja-kerja migrasi berkaitan pemindahan sebahagian daripada laluan ke Laluan Putrajaya yang baharu.

Penutupan membabitkan Stesen MRT Sungai Buloh, Stesen MRT Kampung Selamat dan Stesen MRT Kwasa Damansara.

Bagaimanapun, Stesen KTM Sungai Buloh dan juga kemudahan tempat letak kereta bersebelahan dengan stesen tidak terjejas oleh penutupan itu.

Susulan penutupan itu, perkhidmatan bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh selain turut menyediakan perkhidmatan di Stesen MRT Kampung Selamat.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd MRT Laluan Kajang, Azmi Mohd Zain berkata, susulan penutupan tiga stesen terbabit, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen MRT Kwasa Sentral.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd MRT Laluan Kajang, Azmi Mohd Zain. - Foto Google
Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn Bhd MRT Laluan Kajang, Azmi Mohd Zain. - Foto Google

"Bas perantara tidak akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan yang berdekatan dengan stesen. Tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara juga akan ditutup," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, pengguna yang biasanya meletakkan kereta di kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara dinasihatkan meletakkan kenderaan sama ada di Stesen MRT Kwasa Sentral atau di Stesen MRT Sungai Buloh.

"Kain rentang dan sepanduk telah dipasang dan pengumuman juga dilakukan untuk memberitahu pengguna berkenaan penutupan itu serta perkhidmatan gantian bas perantara percuma.

"Perkhidmatan bas perantara percuma akan beroperasi berpandukan frekuensi tren pada hari minggu iaitu di antara 7 minit dan 15 minit," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Amiruddin Ma'aris, berkata penutupan itu juga adalah untuk kerja tren elektrik dan penguasaan kuasa MRT Laluan Putrajaya.

"Ini termasuk pengujian pelbagai sistem komunikasi yang penting untuk pengoperasian laluan baharu terbabit.

"Kami memohon maaf di atas kesulitan pengguna tren dan berharap mereka dapat memahami bahawa kerja yang dilakukan adalah untuk menambah baik dan mengembangkan jaringan pengangkutan awam berasaskan tren di Lembah Klang," katanya.

Katanya, nama kedua-dua Laluan MRT secara rasminya akan dikenali sebagai MRT Laluan Kajang menggantikan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dan MRT Laluan Putrajaya menggantikan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

Berita Harian X