Khamis, 25 Jun 2020 | 4:27pm

PRK Chini: Sokongan Tun M kepada calon Bebas tidak jejas BN

KUANTAN: Sokongan terbuka bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak akan mengganggu undi kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Razak berkata, sokongan yang dibuat Dr Mahathir menerusi video di Facebook beliau kepada Tengku Zainul Hisham langsung tidak memberi keyakinan kepada pengundi di FELDA Chini.

"Kita percaya pengundi di kawasan DUN ini sudah sebati dengan BN.

"Masa kempen di PRK Cameron Highlands Januari lalu, pun beliau (Tun Mahathir) ada turun. Namun majoriti kepada BN tetap meningkat... Tetapi kali ini tidak turun dan cuma memuat naik menerusi rakaman video sahaja untuk sokong calon Bebas," katanya ditemui media selepas Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Orang Asli dan Ziarah Kasihdi Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, di sini hari ini.

Turut hadir, calon BN, Mohd Sharim Md Zain, Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Ahli Parlimen Pekan itu yang juga Pengarah Operasi PRK DUN Chini berkata, kemenangan BN pada PRK nanti akan menjadi momentum kebangkitan parti itu untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Memang terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa PRU akan diadakan pada bila-bila masa atau tahun ini.

"Justeru, kita yakin PRK DUN Chini ini boleh menjadi momentum kepada BN bermula di PRK Cameron Highlands hingga la ke DUN Chini," katanya

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Mohd Sharim Md Zain (dua kiri) bersama komuniti Orang Asli mengopek buah durian ketika membuat lawatan sambil berkempen sempena PRK Chini, di Kampung Tasik Mentiga, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Mohd Sharim Md Zain (dua kiri) bersama komuniti Orang Asli mengopek buah durian ketika membuat lawatan sambil berkempen sempena PRK Chini, di Kampung Tasik Mentiga, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X