Khamis, 25 Jun 2020 | 5:08pm
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak bersama calon Barisan Nasional pada PRK DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain (tiga dari kiri) bersama komuniti Orang Asli menunjukkan isi buah durian ketika berkempen di Kampung Tasik Mentiga. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

PRK Chini: Sharim yakin pengundi Orang Asli bersama BN

PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain melipatgandakan kempennya dengan tumpuan hari keenam pada masyarakat Orang Asli dalam kawasan DUN itu.

Menerusi kempen itu, beliau melakukan ziarah kasih di beberapa perkampungan Orang Asli untuk mendekati dan mendalami permasalahan yang dihadapi masyarakat minoriti itu.

Mohd Sharim berkata sokongan Orang Asli terhadap BN dilihat sangat memberangsangkan dan percaya majoriti undian akan bersamanya.

"Saya akan melakukan sebaik mungkin untuk memperjuangkan nasib masyarakat DUN Chini khususnya di kawasan kampung Orang Asli, kampung tradisional serta masyarakat Felda," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan di perkampungan Orang Asli di Bendaling dekat sini.

Turut serta membantu kempen beliau hari ini ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak bersama calon Barisan Nasional pada PRK DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain (kiri) bersama Tok Batin Manda (dua dari kiri) ketika berkempen di perkampungan Orang Asli di Bendaling dekat Pekan, hari ini. - Foto NSTP

Mohd Sharim bersama-sama Najib meluangkan masa kira-kira satu jam bertemu penduduk di situ dan turut mendekati masyarakat Orang Asli Kampung Tasik Mentiga serta menghadiri program penyerahan borang keahlian baharu ibu tunggal DUN Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5.

Sementara itu, Najib selaku pengarah operasi BN bagi PRK Chini melahirkan keyakinan bahawa Mohd Sharim mampu meneruskan legasi kerja-kerja baik yang ditinggalkan penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Dia paling sesuai untuk Chini, lebih-lebih lagi aktif dalam pergerakan belia. Saya yakin dia akan jadi wakil rakyat yang akan berkerja dengan senang hati," katanya.

PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, mempunyai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. - BERNAMA

Berita Harian X