Jumaat, 26 Jun 2020 | 5:17pm
Chik Ibrahim berusia 97 tahun dan isteri, Ramlah Abdullah, 85, dari FELDA Chini 2 berharap dapat mengundi pada PRK DUN Chini pada 4 Julai ini. - Foto BERNAMA
Chik Ibrahim berusia 97 tahun dan isteri, Ramlah Abdullah, 85, dari FELDA Chini 2 berharap dapat mengundi pada PRK DUN Chini pada 4 Julai ini. - Foto BERNAMA

PRK Chini: Pengundi tertua harap dibenar mengundi

PEKAN: Walaupun sudah menginjak usia 90-an dan berhadapan masalah pergerakan akibat faktor usia, seorang warga emas yang juga antara pengundi tertua pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, tetap berhasrat mengundi pada 4 Julai ini.

Walaupun masih wujud ancaman wabak COVID-19 dan berada dalam kategori berisiko, Chik Ibrahim, 97, berharap dibenarkan untuk menunaikan tanggungjawabnya bagi memilih wakil rakyat baharu DUN Chini.

Chik dari FELDA Chini 2 dekat sini berkata, beliau akan turun mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Chini 2 bersama isterinya, Ramlah Abdullah, 85, dengan dihantar oleh anak lelakinya atau menggunakan kenderaan disediakan, mana-mana pihak, jika kesihatannya mengizinkan pada hari pengundian itu.

"Saya dan isteri memang tidak pernah ketinggalan daripada mengundi sejak dari dahulu lagi, kerana ia adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya hari ini.

Chik Ibrahim berusia 97 tahun dari FELDA Chini 2 berharap dapat mengundi pada PRK DUN Chini pada 4 Julai ini. - Foto BERNAMA
Chik Ibrahim berusia 97 tahun dari FELDA Chini 2 berharap dapat mengundi pada PRK DUN Chini pada 4 Julai ini. - Foto BERNAMA

Menurut maklumat daripada SPR, Chik ialah salah seorang daripada 32 pengundi berusia atas 90 tahun dalam DUN Chini.

Beliau dan isterinya yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu turut bersyukur kerana berpeluang mengundi pada PRK ini sedangkan ramai rakan-rakan peneroka sebaya dengannya sudah meninggal dunia.

"Kami sekeluarga adalah antara peneroka terawal yang tiba di FELDA Chini 2 pada 1980 bagi meneroka kawasan ini.

"Pada ketika itu keadaannya jauh berbeza dengan sekarang iaitu keadaan sekeliling adalah hutan tebal dengan haiwan seperti rusa dan kijang masih boleh dilihat berkeliaran," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai nelayan sebelum menjadi peneroka berkata, suasana di tanah rancangan itu kini jauh lebih baik dengan pelbagai kemudahan seperti jalan raya dan kedai yang menjual pelbagai barangan keperluan, berbanding ketika beliau tiba di sini 40 tahun lalu.

Sementara itu, satu lagi pasangan suami isteri warga emas, Abdul Rahim Awang Kechik, 83 dan Asmah Yaacob, 81, turut menyatakan hasratnya untuk mengundi pada PRK DUN Chini.

Abdul Rahim yang juga peneroka FELDA Chini 2 berkata, mereka berdua yang akan mengundi di saluran yang dikhaskan bagi warga emas, akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk dengan memakai pelitup muka dan melakukan jarakan sosial.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun pada Mei dilaporkan berkata, 14 pusat mengundi yang mengandungi 66 saluran akan digunakan pada PRK DUN Chini, dan SPR turut menyediakan saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas, manakala pengundi berstatus Orang Kelainan Upaya pula akan mengundi di saluran 1.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

PRK DUN Chini, yang juga satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Mei lalu, akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal, dengan pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah merupakan majoriti, iaitu mewakili 56 peratus. – BERNAMA

Berita Harian X