Jumaat, 26 Jun 2020 | 7:13pm
Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain pada majlis memperkenalkan calon itu di Dewan Mempelas, Kampung Salong hari ini. Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan (kiri) dan Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib (kanan). - Foto BERNAMA

Kempen Mohd Sharim liputi lebih 60 peratus kawasan DUN Chini

PEKAN: Memasuki hari ketujuh berkempen hari ini, calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Mohd Sharim Md Zain, telah menjalankan kempennya meliputi lebih 60 peratus kawasan DUN.

Pemuda berusia 41 tahun itu berkata, kawasan berkenaan merangkumi kawasan perkampungan Orang Asli dan perkampungan tradisional, serta sebahagian Gugusan Felda Chini.

"Baki 40 peratus yang belum kita jelajah adalah di sekitar kawasan Felda dan saya akan lipat gandakan lagi bertemu pengundi muda serta warga emas, di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Memperkenalkan Calon BN di Dewan Mempelas, Kampung Salong, dekat sini petang ini.

Mohd Sharim yang diiringi Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, kemudiannya turut meluangkan masa melawat pusat media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kampung Salong, sebelum kembali berkempen pada sebelah malam.

Menurut Mohd Sharim, berdasarkan maklum balas yang diterima ketika berkempen, ramai pengundi menyatakan sokongan padu kepada BN.

"Sepanjang tempoh kempen memasuki hari ketujuh ini, saya menerima sokongan yang positif datang daripada masyarakat setempat. Mereka harapkan seorang calon yang boleh membawa kemajuan di kawasan DUN Chini," katanya.

Pengundian PRK DUN Chini 4 Julai nanti membabitkan pertembungan antara Mohd Sharim dengan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini adalah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, dengan daftar pemilih 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. – BERNAMA

Berita Harian X