Sabtu, 27 Jun 2020 | 2:25pm
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain beramah mesra dengan generasi muda Felda Chini pada majlis perasmian jentera generasi baharu Muafakat Nasional DUN Chini di Pusat Bandar Dara Felda China hari ini.- Foto BERNAMA
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain beramah mesra dengan generasi muda Felda Chini pada majlis perasmian jentera generasi baharu Muafakat Nasional DUN Chini di Pusat Bandar Dara Felda China hari ini.- Foto BERNAMA

PRK Chini: BN miliki kelebihan kekalkan kerusi

PEKAN: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang memasuki fasa kedua selepas seminggu berlangsung memperlihatkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain sudah jauh ke hadapan berbanding dua calon Bebas.

Dengan tempoh berkempen berbaki seminggu lagi, semua calon dijangka meningkatkan kempen masing-masing bagi memancing sebanyak mungkin sokongan pengundi.

Meskipun kempen PRK kali ini dibuat dalam keadaan norma baharu, Mohd Sharim 41, ketika ini dilihat mendahului bukan sahaja aktiviti kempen tetapi juga penerimaan ditunjukkan pengundi dan penduduk di DUN Chini, sama ada di kawasan gugusan FELDA Chini, kampung tradisional dan kampung Orang Asli.

Awal-awal lagi faktor sebagai anak tempatan dan generasi kedua FELDA sudah memberikan kelebihan untuknya, apatah lagi apabila Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon pada PRK itu.

Dari segi isu, calon Bebas yang tidak didukung secara terus oleh mana-mana parti memang tidak dapat mengetengahkan isu besar kerana isu seperti masalah kemudahan bekalan air dan elektrik bagi penduduk FELDA dan kampung Orang Asli adalah isu yang sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan secara berterusan, begitu juga isu kebajikan generasi kedua FELDA.

Bagi penganalisis politik, Md Shukri Shuib, PRK dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebenarnya memberi kelebihan kepada calon BN apabila menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah.

"Bayangkan kalau rakyat susah semasa PKP, sudah tentu pembangkang boleh memanipulasi dan mengambil kesempatan. Sudah tentu juga populariti pembangkang akan naik.

"Tapi bila kita lihat kepada PRK Chini yang tenang dan lancar. Itu merupakan isyarat awal rakyat terhadap penerimaan pengurusan yang dibuat kerajaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Md Shukri berkata, jika BN memenangi PRK Chini, ia boleh menjadi indikator buat kerajaan PN bagi menentukan tahap kepuasan hati rakyat di samping menentukan kejayaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Ainul Adzellie Hasnul berkata, BN perlu melipatgandakan usaha membantu memperkukuhkan kerajaan baharu, yang mula terbentuk sejak Mac lalu, menerusi kemenangan PRK Chini.

"Ini bukan sahaja mencatat sejarah apabila diadakan dalam normal baharu tetapi juga menjadi 'ujian pertama' buat kerajaan PN, selain kesinambungan kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS, yang mula terbentuk sejak PRK Parlimen Cameron Highlands.

"Tidak salah saya katakan nafas PN sebenarnya bermula dari DUN Chini," katanya.

Hasil pemerhatiannyam, Ainul Adzellie mendapati pengundi di DUN Chini masih tegar memberikan sokongan kepada BN dan sudah pastinya tiada masalah untuk meningkatkan majoriti kali ini.

"Sebagai parti kerajaan, pastinya calon BN dari UMNO itu mempunyai banyak kelebihan yang menjadikan mereka lebih menyerlah berbanding calon lain, ditambah pula calon adalah anak tempatan dan kenal selok belok kawasan dan permasalahan setempat," katanya.

Saingan BN pada hari pengundian 4 Julai ini adalah dua calon Bebas iaitu Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang kempen mereka lebih dilihat berprofil rendah berbanding calon BN.

Seramai 20,990 pengundi berdaftar termasuk 18 pemilih awal dalam DUN Chini, yang juga kubu kuat BN sejak PRU ke-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung 7 Mei lalu. - BERNAMA

Berita Harian X