Ahad, 28 Jun 2020 | 4:42pm
Nolee Ashilin bersama Pengurus Besar Port, Nur Hanim Khairuddin (dua kiri) selepas perasmian Siri Video Seni Kreatif 'Start' di Black House @ Port. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Nolee Ashilin bersama Pengurus Besar Port, Nur Hanim Khairuddin (dua kiri) selepas perasmian Siri Video Seni Kreatif 'Start' di Black House @ Port. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

PBT di perak diminta keluarkan lesen harian kepada penjaja, peniaga kecil

IPOH: Kerajaan Perak meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu supaya mengeluarkan lesen perniagaan secara harian kepada penjaja dan peniaga kecil bagi mempermudah urusan dan menjimatkan kos mereka sepanjang tempoh mencabar ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, berkata sistem seumpama itu sudah dilaksanakan Majlis Perbandaran Manjung sejak 21 Mei lalu.

Menerusi lesen harian, penjaja hanya perlu membayar untuk hari-hari mereka berniaga dan pembayaran boleh dibuat secara dalam talian, sekali gus memudahkan golongan ini.

Inisiatif sama turut disaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor semalam yang meminta kerajaan negeri dan PBT mengambil langkah lebih proaktif bagi memudahkan urusan perniagaan di kawasan masing-masing, termasuk mempercepat pengeluaran lesen perniagaan.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin, berkata langkah itu boleh dilakukan mengikut kemampuan PBT di kawasan masing-masing.

"Selalunya kita akan mengeluarkan lesen secara tahunan, tetapi kali ini apabila mereka (peniaga) hendak berniaga kita membenarkan mereka untuk mempunyai lesen harian," katanya selepas merasmikan Siri Video Seni Kreatif 'START' di Black House, Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata berdasarkan amalan sekarang, peniaga perlu membayar lesen secara bulanan atau tahunan yang memerlukan mereka membayar caj lebih mahal secara sekali gus.

Nolee Ashilin bersama Pengurus Besar Port, Nur Hanim Khairuddin (dua kiri) selepas perasmian Siri Video Seni Kreatif 'Start' di Black House @ Port. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Nolee Ashilin bersama Pengurus Besar Port, Nur Hanim Khairuddin (dua kiri) selepas perasmian Siri Video Seni Kreatif 'Start' di Black House @ Port. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Mengenai projek dokumentasi 'START', Nolee Ashilin berkata, projek itu mengetengahkan hasil kerja penggiat seni kreatif negeri Perak dalam bentuk wawancara, demonstrasi dan tutorial bagi mencari kaedah dan hala tuju baharu demi mendepani cabaran COVID-19.

Projek itu bertujuan memberi pendedahan kepada khalayak mengenai kegiatan seni kreatif, selain membantu mempromosi hasil kerja dan khidmat para penggiat seni negeri ini secara dalam talian.

Bagi fasa pertama, sebanyak 10 video dokumentari diterbitkan hasil kerjasama START dan Tourism Perak, Kraftangan Perak dan Digital Perak.

"Impak daripada musibah COVID-19 turut merangkumi bidang seni kreatif yang selama ini banyak menyokong ekosistem sektor pelancongan negeri. Justeru, pihak PORT akan sama-sama membantu menyemarakkan lagi kegiatan seni walaupun mungkin terbatas untuk tontonan dalam talian buat masa ini," katanya.

Video pertama yang dimuat naik bertajuk 'Penghasilan Sampul dan Kad Raya' menarik 25,000 tontonan setakat ini.

Berita Harian X