Isnin, 29 Jun 2020 | 10:54am
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Lantik belia dalam Majlis Penasihat Pertanian Negara - MBM

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta kerajaan melantik dua wakil belia dalam Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani MBM, Abdul Hafeez Abdullah, berkata salah seorang wakil itu boleh dilantik dalam kalangan ahli MBM, manakala seorang lagi belia tani yang berada di lapangan.

Abdul Hafeez berkata, MBM kesal kerana tiada wakil belia dalam MPPN sesi 2020-2021 seperti diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA), baru-baru ini.

"Golongan belia wajar diberikan tempat dalam MPPN bagi mewakili suara belia dalam menasihati kementerian dalam hal ehwal berkaitan belia dan pertanian.

"Ini kerana isu pertanian ini berkait rapat dengan masa depan belia yang berkaitan kedaulatan dan keselamatan makanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Hafeez yang juga EXCO MBM berkata, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee wajar mempertimbangkan pelantikan dua wakil belia itu.

Katanya, dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 menyatakan hal ehwal pembangunan belia merentas kementerian.

"Jumlah populasi belia Malaysia mencecah 14.7 juta, maka amatlah wajar golongan belia diwakili dalam MPPN sebagai platform penasihat dan membuat cadangan dasar dan strategi MOA," katanya.

Mengulas lanjut katanya, golongan belia khususnya belia tani juga mampu memberikan pandangan, aspirasi dan strategi berbeza mengikut perspektif umur mereka bagi mengimbangi pandangan ahli yang lebih kanan dan berpengalaman dalam MPPN.

"Kehadiran golongan belia dalam MPPN juga mampu memberikan idea segar bagi menarik golongan belia untuk terbabit dalam sektor pertanian.

"Kami juga menggesa agar kerajaan lebih serius membabitkan penyertaan golongan belia yang berkelayakan dan berkemahiran dalam semua platform penasihat, pembuatan dasar dan keputusan di semua peringkat supaya suara belia benar-benar dihargai dan diwakili," katanya.

Berita Harian X