Isnin, 29 Jun 2020 | 11:10am
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan simulasi undi awal ketika tinjauan undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Balai Polis Chini Pusat Bandar DARA Chini hari ini. - Foto BERNAMA
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan simulasi undi awal ketika tinjauan undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Balai Polis Chini Pusat Bandar DARA Chini hari ini. - Foto BERNAMA

PRK Chini: 18 polis mengundi awal, esok

PEKAN: Seramai 18 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, membabitkan anggota polis akan mengundi esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, berkata semua anggota terbabit akan mengundi di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini dekat sini.

Katanya, pusat pengundian awal akan dibuka bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

"Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan COVID-19 yang berkuat kuasa seperti penjarakan sosial, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan, serta saringan suhu badan, akan dilaksanakan," katanya.

Azhar berkata, satu video tatacara mengundi dalam kelaziman baharu dibuat dan boleh ditonton melalui Facebook SPR ataupun Akademi Pilihan Raya.

Beliau berkata, proses pengundian awal itu akan turut disaksikan ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR, selain disiarkan secara langsung atau live streaming di Facebook SPR.

Katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 4 Julai, di pusat pengiraan undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Paloh Hinai di sini.

Bendera parti yang bertanding memenuhi jalan utama di Felda Chini ketika tempoh berkempen PRK DUN Chini. - Foto NSTP
Bendera parti yang bertanding memenuhi jalan utama di Felda Chini ketika tempoh berkempen PRK DUN Chini. - Foto NSTP

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, serta Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

DUN Chini, yang juga satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac.

PRK Chini yang juga PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kali pertama buat Perikatan Nasional (PN), selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan (PH). - BERNAMA

Berita Harian X