Isnin, 29 Jun 2020 | 5:40pm

COVID-19: Tiga kes baharu, tiada kematian

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiga kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini, membabitkan warganegara Malaysia.

Ia bermakna catatan kes baharu kembali ke satu angka selepas dua hari merekodkan masing-masing 10 dan 18 kes sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada tiga kes berkenaan, dua kes adalah penularan dalam negara dan satu kes mendapat jangkitan dari luar negara.

Bagi penularan dalam negara, katanya, masing-masing satu kes dikesan di Selangor iaitu ketika saringan pra-prosedur bagi rawatan penyakit barah dan kes saringan tempat kerja di Sandakan, Sabah.

"Pertambahan tiga kes berkenaan menjadikan jumlah positif COVID-19 di negara ini kepada 8,637 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 182 kes," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 16 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 8,334 kes atau 96.5 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Katanya, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan dan jumlahnya kekal 121 kes atau 1.40 peratus daripada keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto NSTP
    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto NSTP
    Berita Harian X