Selasa, 30 Jun 2020 | 8:48am

Pengundian awal PRK Chini hari ini

PEKAN: Pusat pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Balai Polis Chini dekat sini, dibuka 8 pagi ini bagi membolehkan 18 pengundi awal membabitkan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat pengundian awal itu dibuka selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

Sepanjang proses mengundi awal itu, pematuhan kepada garis panduan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa seperti penjarakan sosial, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan sarung tangan serta saringan suhu badan.

Proses itu akan disaksikan ejen calon serta pemerhati pilihan paya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain turut disiarkan secara langsung atau 'live streaming' menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, Sabtu ini (4 Julai) di pusat pengiraan undi di Balai Polis Paloh Hinai.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis dengan pecahan jantina membabitkan 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.– BERNAMA

Ketua Tempat Mengundi Pusat Pengundian Awal Wan Hanis Sofiana Wan Mohd Noor memasang tempat mengundi ketika tinjauan undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Balai Polis Chini, hari ini. FOTO/BERNAMA
Ketua Tempat Mengundi Pusat Pengundian Awal Wan Hanis Sofiana Wan Mohd Noor memasang tempat mengundi ketika tinjauan undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Balai Polis Chini, hari ini. FOTO/BERNAMA
Berita Harian X