Selasa, 30 Jun 2020 | 12:36pm
(Gambar fail) Presiden CUEPACS, Adnan Mat. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
(Gambar fail) Presiden CUEPACS, Adnan Mat. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Kerajaan diminta melihat semula pengumuman pentadbiran lalu

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta melihat semula perkara diumumkan untuk penjawat awam oleh pentadbiran negara sebelum ini, yang masih tidak dilaksanakan hingga sekarang.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata perkara berkenaan termasuk kenaikan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018, yang diumumkan kerajaan pada 4 April 2018.

"Kerajaan pada 4 April 2018 turut mengumumkan pemendekan tempoh kenaikan pangkat 'time-based' kali kedua daripada 13 kepada 10 tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2018 yang belum dilaksanakan.

"Selain itu, kerajaan bersetuju bawah pembentangan Belanjawan 2020 bagi penebusan awal Gantian Cuti Rehat (DCR) sebanyak 75 hari membabitkan ganjaran wang tunai untuk penjawat awam sudah berkhidmat lebih 15 tahun.

"Perkara terbabit sudah diumumkan oleh kerajaan (lalu), justeru ia perlu dilaksanakan segera," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS juga memohon pertimbangan kerajaan supaya menambah elaun kos sara hidup (COLA) sebanyak RM50 untuk penjawat awam di Sabah dan Sarawak seperti yang dinikmati kakitangan awam di Semenanjung.

"Kita juga meminta kerajaan negeri mengambil langkah seiring Kerajaan Persekutuan dalam pemberian bantuan khas kewangan bagi perayaan serta COVID-19 sebanyak RM500 kerana ada kerajaan negeri yang tidak mengumumkannya sebelum ini," katanya.

Di samping itu, beliau berkata, CUEPACS berharap bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Seranta FELDA dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditamatkan jawatan dalam agensi terbabit, dikembalikan ke jawatan asal mereka.

"Dengan adanya perubahan pucuk kepemimpinan kini, kami merayu mereka dikembalikan ke jawatan terdahulu.

"Inilah peluang mereka dan diharap kerajaan yang prihatin kepada rakyat dapat melihat kembali kesan terhadap pekerja itu yang terumbang-ambing," katanya.

Berita Harian X