Selasa, 30 Jun 2020 | 2:05pm
 Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

PKPP: 39 ditahan ingkar arahan

KUALA LUMPUR: Seramai 39 individu ditahan semalam, dalam pemeriksaan yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Susulan penahanan itu, tiga daripada 39 individu terbabit direman, manakala 36 lagi diberikan kompaun, mengikut peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan antara kesalahan ingkar arahan PKPP yang dilakukan individu terbabit termasuk aktiviti pub atau kelab malam membabitkan lima orang, aktiviti kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial (14 orang) dan 20 orang didapati melakukan kegiatan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 67,047 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Sebanyak 3,479 pasukan pematuhan yang membabitkan 15,330 anggota membuat pemantauan di 4,224 pasar raya, 5,534 restoran dan 1,126 penjaja, selain 1,105 kilang, 4,315 bank serta 900 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau ialah 1,167 terminal pengangkutan darat, 258 terminal pengangkutan air dan 155 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan seorang warganegara asing semalam, kerana melakukan kesalahan imigresen dalam Operasi Benteng yang dilaksanakan secara bersepadu, membabitkan tiga agensi pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram, malah agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutama di lorong-lorong tikus.

"PDRM membuat 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,527 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), khususnya menerusi lorong-lorong tikus," katanya.

Menyentuh aspek sanitasi awam, Ismail Sabri berkata, proses seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu membabitkan 9,039 operasi, merangkumi 134 zon, sejak 30 Mac lalu.

Beliau berkata, sebanyak 12,590 premis menjalani operasi nyah cemar yang terdiri daripada 2,677 pusat perniagaan dan 5,453 bangunan kerajaan, selain 1,591 kawasan perumahan, termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Proses ini juga meliputi 2,515 tempat awam dan 354 pasar raya. Semalam, 28 operasi sanitasi dilakukan di 23 zon di sembilan negeri, antaranya Sabah (11 operasi), Melaka (enam operasi) dan Terengganu (tiga operasi)," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X