Selasa, 30 Jun 2020 | 4:32pm
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain (kanan) beramah mesra dengan pengundi pertama, Koperal Muhamad Muhaidin Haripen, 36, ketika meninjau perjalanan undi awal bagi PRK DUN Chini di Balai Polis Chini hari ini. - Foto BERNAMA
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain (kanan) beramah mesra dengan pengundi pertama, Koperal Muhamad Muhaidin Haripen, 36, ketika meninjau perjalanan undi awal bagi PRK DUN Chini di Balai Polis Chini hari ini. - Foto BERNAMA

Kemenangan calon BN beri isyarat keupayaan PN tadbir negara - PM

KUALA LUMPUR: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bakal memberi isyarat kepada rakyat mengenai keupayaan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan parti yang mampu bekerjasama menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kemajuan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PRK pada 4 Julai ini adalah pilihan raya pertama bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama PN.

Selaku Presiden BERSATU, beliau menyokong penuh calon yang diputuskan BN untuk bertanding pada PRK kali ini.

"Saya menyeru kepada 20,900 pengundi berdaftar di DUN Chini supaya keluar beramai-ramai dan memberikan sokongan padu kepada calon BN pada 4 Julai nanti.

"Pilihan anda bukan saja akan menentukan pembangunan dan masa depan negara tetapi juga membuka lembaran baharu kepada hala tuju politik di peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman Facebook BERSATU, hari ini.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain, beramah mesra bersama peneroka FELDA, ketika singgah berkempen di warung pagi di FELDA Chini 3 semalam sempena PRK DUN Chini. - NSTP/Hafiz Awang
Calon BN, Mohd Sharim Md Zain, beramah mesra bersama peneroka FELDA, ketika singgah berkempen di warung pagi di FELDA Chini 3 semalam sempena PRK DUN Chini. - NSTP/Hafiz Awang

Muhyiddin yang juga Pemangku Pengerusi BERSATU, berkata bagi memastikan kemenangan pertama PN dalam pilihan raya, seluruh jentera akar umbi BERSATU Bahagian Pekan digerakkan untuk berkempen menyokong calon pilihan gabungan parti itu.

"Gerakan kempen ini diperkuat lagi dengan kehadiran pemimpin kanan BERSATU dari seluruh negara.

"Kesepakatan dan kematangan parti PN untuk berkempen serta berkongsi pentas politik secara terbuka di PRK DUN Chini adalah satu langkah bersejarah ke arah pembentukan perikatan ini menjadi gabungan politik yang kukuh dan mantap," katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis dengan pecahan jantina membabitkan 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Berita Harian X