Selasa, 30 Jun 2020 | 5:58pm
 Jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin (GKP) yang dibayar setakat 26 Jun 2020 adalah kira-kira RM1.63 bilion dengan memanfaatkan 544,500 PKS mikro. - Foto hiasan
Jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin (GKP) yang dibayar setakat 26 Jun 2020 adalah kira-kira RM1.63 bilion dengan memanfaatkan 544,500 PKS mikro. - Foto hiasan

Sejumlah 544,500 PKS mikro manfaat Geran Khas Prihatin, RM1.63 bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin (GKP) yang dibayar setakat 26 Jun 2020 adalah kira-kira RM1.63 bilion dengan memanfaatkan 544,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bagi PKS mikro yang telah lulus selepas disemak lanjut, pembayaran sudah bermula pada 29 Jun 2020.

Beliau berkata, bayaran rayuan GKP kepada 21,983 PKS mikro yang lulus rayuan membabitkan jumlah implikasi kewangan sebanyak RM65.95 juta akan mula dibuat pada 2 Julai 2020.

"Kerajaan berharap geran ini sedikit sebanyak akan dapat membantu PKS mikro dalam menjana semula perniagaan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai Laporan LAKSANA Ke-11 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Bagi PKS mikro yang gagal kredit berikutan butiran akaun bank tidak tepat atau tiada akaun bank, penerima GKP diminta mengemaskini butiran mereka di https://gkp.hasil.gov.my.

Mengenai Program Subsidi Upah, Tengku Zafrul berkata, sehingga 26 Jun 2020, sebanyak RM7.07 bilion telah diluluskan bagi 307,518

majikan yang memanfaatkan lebih 2.46 juta pekerja.

Beliau berkata, kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di atas kerjasama dalam menyalurkan bantuan subsidi upah itu kepada majikan dan pekerja yang terkesan oleh COVID-19.

Bagi Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, sehingga 26 Jun 2020, sebanyak 36,107 permohonan telah diterima dan sebanyak 9,542 permohonan telah diluluskan bernilai RM63.9 juta bagi caruman KWSP majikan.

Beliau berkata, kerajaan ingin menekankan bahawa KWSP akan membuat pemantauan rapat untuk memastikan caruman yang distruktur semula akan tetap dibayar pada masa hadapan.

"Tindakan boleh diambil ke atas majikan yang tidak menunaikan tanggungjawab masing-masing dari segi caruman untuk tabung persaraan pekerja," katanya.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia, Tengku Zafrul berkata, sehingga 26 Jun 2020, permohonan yang telah diluluskan oleh bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS adalah RM8.4 bilion, dan ia akan memanfaatkan 19,539 PKS.

Jumlah itu termasuk dana 'Special Relief Facility', 'Automation & Digitalisation Facility', 'All Economic Sector Facility' dan 'Agrofood Facility', katanya.

Bagi Skim Kredit Mikro BSN dan TEKUN Nasional pula, sehingga 26 Jun 2020, di bawah Skim Kredit Mikro BSN, sebanyak 7,577 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan bernilai RM260.6 juta.

Bagi program TEKUN, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 25,071 bernilai RM191.50 juta.

Berita Harian X