Selasa, 30 Jun 2020 | 6:02pm
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

'Jho Low boleh buat orang rasa selesa'

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mempunyai 'kepakaran' untuk membuatkan orang ramai berasa selesa dengannya, Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata Jho Low membuatkan orang di sekelilingnya merasakan ahli perniagaan itu bertindak bagi kepentingan mereka.

Saksi pendakwaan kesembilan itu mengakui bahawa beliau sendiri terjebak ke dalam 'perangkap' yang dipasang oleh Jho Low membabitkan skandal 1MDB.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan bahawa kepakaran Jho Low ialah membuatkan orang ramai percaya bahawa mereka menerima wang yang sah.

Saksi pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta - Foto NSTP/Aswadi Alias
Saksi pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jalan Duta - Foto NSTP/Aswadi Alias

Shahrol Azral menjawab, ahli perniagaan itu mampu membuatkan orang ramai selesa dengannya dan mempercayai bahawa ahli perniagaan itu bertindak bagi kepentingan mereka serta wang yang diterima adalah daripada sumber yang sah.

Apabila dicadangkan oleh Muhammad Shafee bahawa anak guamnya, iaitu Datuk Seri Najib Razak turut terjebak dalam 'perangkap' Jho Low, saksi itu bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat memberikan komen.

Muhammad Shafee terlebih dahulu menyoal saksi mengenai Brazen Sky Ltd, iaitu syarikat yang ditubuhkan pada 12 Julai 2012 bagi tujuan mendapatkan balik dana milik 1MDB.

Shahrol Azral melalui pernyataan saksinya sebelum ini berkata syarikat itu diwujudkan sebagai 'transit' untuk membawa balik pelaburan daripada Petrosaudi Oil Service Ltd yang berpangkalan di Venezuela.

Ditanya mengapa wang itu tidak disalurkan terus kepada 1MDB, saksi berkata, Jho Low menjelaskan bahawa pasaran ketika itu tidak menggalakkan pencairan unit sekali gus, sehubungan itu Jho Low mencadangkan supaya ia dilakukan beransur-ansur.

Muhammad Shafee mencadangkan bahawa saksi kini mengetahui bahawa apa dinyatakan Jho Low adalah tidak benar sama sekali dan dana berkenaan sebaliknya diuruskan oleh ahli perniagaan itu.

Shahrol Azral bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita Harian X