Selasa, 30 Jun 2020 | 6:43pm
Orang ramai disarankan merancang kewangan dan berunding dengan profesional berlesen untuk mengetahui mengenai tindakan yang dapat diambil untuk memperbaiki aliran tunai dan menangani kekangan kewangan berikutan impak COVID-19. - Foto NSTP
Orang ramai disarankan merancang kewangan dan berunding dengan profesional berlesen untuk mengetahui mengenai tindakan yang dapat diambil untuk memperbaiki aliran tunai dan menangani kekangan kewangan berikutan impak COVID-19. - Foto NSTP

Waspada penipuan babitkan pakej PRIHATIN, PENJANA

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu berwaspada terhadap penipuan yang membabitkan pakej rangsangan ekonomi dan langkah bantuan yang dilabel di bawah nama PRIHATIN dan PENJANA, demikian kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, rakyat disarankan untuk menghubungi terus Kementerian Kewangan atau agensi yang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai cara untuk mengakses langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Katanya, institusi kewangan tidak melantik atau membabitkan pihak ketiga atau ejen untuk proses mendapatkan pinjaman atau pengeluaran simpanan kerana terdapat pilihan yang jelas secara langsung dengan agensi penyelia yang diberi kuasa.

"Pelbagai media telah melaporkan bahawa penipu kerap memperdayakan mangsa agar menyerahkan kad pengenalan dan butiran akaun bank mereka dengan alasan untuk menolong mereka memproses pinjaman atau mengeluarkan simpanan dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.

"Rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai taktik penipuan dan cara melindungi diri daripada laman Facebook Bank Negara Malaysia (BNM) bertajuk "Amaran Scam" (https://www.facebook.com/amaranpenipuan).

"Bagi mereka yang merasakan telah menjadi mangsa penipuan, sila hubungi BNMTELELINK di talian 1300-88-5465," katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai Laporan LAKSANA Ke-11 pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA.

Tengku Zafrul berkata, orang ramai juga disarankan untuk merancang kewangan mereka dan berunding dengan profesional berlesen untuk mengetahui mengenai tindakan yang dapat diambil untuk memperbaiki aliran tunai dan menangani kekangan kewangan berikutan impak COVID-19.

Beliau berkata, bagi mereka yang mungkin masih belum mengetahui, BNM telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) yang boleh membantu seseorang di dalam pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit.

"Perkhidmatan ini adalah percuma dan rakyat boleh menghubungi AKPK (https://www.akpk.org.my/my) melalui nombor telefon 03-2616 7766.

"AKPK mempunyai 11 cawangan di seluruh Malaysia (https://www.akpk.org.my/my/hubungi-kami#akpk)," katanya.

Berita Harian X