Selasa, 30 Jun 2020 | 7:06pm

COVID-19: Jualan hartanah turun 19 peratus

KUALA LUMPUR: Sektor hartanah di negara ini mengalami penurunan sebanyak 19 peratus dari segi jualan, setakat pertengahan tahun ini ekoran penularan pandemik COVID-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata sejak negara melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, banyak aktiviti promosi dan pameran hartanah dan perumahan tidak dapat dilakukan.

"Daripada laporan yang saya terima berkaitan (projek) pembangunan (hartanah dan perumahan) ia masih kekal, mungkin lebih baik daripada tahun lalu.

"Namun dari segi jualan ia menurun sedikit disebabkan COVID-19, pemaju tidak boleh membuat kerja promosi, pameran dan jualan menurun sekitar 19 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Persidangan Saintis Muda Asia Pasific 2019 di Cheras, hari ini.

Zuraida menjelaskan, dengan insentif cukai yang diberikan kerajaan serta pengecualian duti setem, ia mampu merancakkan semula pasaran hartanah dalam tempoh terdekat.

Malah, katanya kesan pelaksanaan PKP sebelum ini juga mungkin mendorong orang ramai terutama golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk mendapatkan kediaman yang lebih luas dan selesa.

Ditanya mengenai Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan COVID-19 kepada pembeli rumah, Zuraida berkata kedua-dua pihak iaitu pemaju dan pembeli akan mendapat manfaat perlindungan.

"Sebab COVID-19, pemaju tidak dapat selesaikan pembinaan mengikut masa ditetapkan. Kalau dia tak selesaikan (pembinaan) dia (pemaju biasanya) dikenakan saman dan didenda lewat penyerahan rumah (LAD) oleh pembeli.

"Manfaat (penggubalan RUU) ini juga akan dinikmati pembeli. Ia datang sekali. Pembeli tidak dikenakan caj faedah (oleh bank) disebabkan kelewatan siap projek," katanya.

RUU yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bertujuan melindungi pihak yang terjejas dengan penularan pandemik itu daripada tindakan saman termasuk kalangan pemaju perumahan, pembeli dan bank.

Jika RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat dan dikuatkuasakan September depan, pihak yang terjejas termasuk pemaju perumahan umpamanya yang lewat menyiapkan projek sekali gus melanggar perjanjian dengan pembeli, akan mendapat perlindungan sementara daripada tindakan saman pembeli atau bank.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Zuraida menyampaikan sijil kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah Kuala Lumpur, Muhammad Harraz Nazhan Mohd Yusni pada majlis penyampaian Anugerah Persidangan Saintis Muda Asia Pasifik 2019 di Dewan Pusat Rekreasi Cheras, hari ini. - Foto BERNAMA
    Zuraida menyampaikan sijil kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah Kuala Lumpur, Muhammad Harraz Nazhan Mohd Yusni pada majlis penyampaian Anugerah Persidangan Saintis Muda Asia Pasifik 2019 di Dewan Pusat Rekreasi Cheras, hari ini. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X