Selasa, 30 Jun 2020 | 7:38pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada sidang media di Bukit Aman hari ini. - Foto BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada sidang media di Bukit Aman hari ini. - Foto BERNAMA

Hina Jata Negara: Polis serbu pejabat syarikat penerbitan

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu pejabat sebuah syarikat penerbitan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap logo Jata Negara di Seksyen 11, Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata serbuan dijalankan pada jam 3 petang oleh sepasukan anggota Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

"Setakat ini polis sudah menerima 32 laporan berhubung isu itu daripada pelbagai pihak di seluruh negara.

"Kita membuka sebanyak empat kertas siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati syarikat penerbitan itu mencetak sebanyak 1,000 naskhah untuk edaran dengan 687 sudah pun terjual melalui jualan dalam talian.

"Baki 313 naskhah yang masih tersimpan dan belum terjual kita rampas dalam serbuan itu.

"Kini pihak polis sedang membuat penelitian terhadap buku terbabit. Penulis serta pereka gambar pada kulit buku berkenaan juga akan disiasat dan sudah pun dikenal pasti," katanya.

Katanya, tangkapan akan dilakukan sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian selain akan merakam keterangan pihak yang terbabit.

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian sejak beberapa hari lalu kerana penggunaan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara selepas perkara itu tersebar di media sosial.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terbabit.

Berita Harian X