Selasa, 30 Jun 2020 | 7:46pm
Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa bot terbalik di muara Kuala Kemasin, Bachok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa bot terbalik di muara Kuala Kemasin, Bachok. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Jadikan iktibar insiden bot terbalik - Che Abdullah

BACHOK: Tragedi bot terbalik di perairan Kemasin yang meragut lima nyawa malam tadi diharap menjadi iktibar kepada nelayan termasuk nelayan rekreasi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata nelayan rekreasi juga diharap lebih menitikberatkan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan.

"Prosedur operasi standard (SOP) di laut iaitu memakai jaket keselamatan memang sudah ada, namun bergantung kepada kesedaran masing-masing untuk memakai atau sebaliknya.

"Justeru, kita berharap apa yang berlaku menjadi iktibar kepada semua," katanya ketika meninjau pusat SAR di Jeti Kemasin.

Che Abdullah turut memaklumkan, beliau berpuas hati dengan penerangan daripada Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhubung SAR dan usaha yang dijalankan.

"Kita berharap operasi SAR berjalan lancar dan tiga lagi mangsa yang hilang ditemui dalam masa terdekat.

"Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap kesemua mereka tabah dengan ujian yang berlaku," katanya.

Dalam kejadian malam tadi, lima pemancing lemas, manakala tiga lagi hilang selepas bot dinaiki terbalik di badai ribut dan ombak besar di kawasan perairan berhampiran Kuala Kemasin, di sini.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu membabitkan sebuah bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong.

Berita Harian X