Selasa, 30 Jun 2020 | 8:45pm
Kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya menjadi lokasi penemuan mayat seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dipercayai dibunuh. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya menjadi lokasi penemuan mayat seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dipercayai dibunuh. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Kes bunuh Datuk Seri bermotifkan wang - Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Kes penculikan dan pembunuhan membabitkan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bermotifkan wang.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada sidang medianya di Bukit Aman, hari ini.

"Buat masa ini saya dapat katakan motif kejadian itu adalah kerana wang.

"Bagaimanapun siasatan lanjut masih sedang dijalankan. Siasatan dijalankan membabitkan semua aspek," katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau berkata, pihak polis juga sedang menunggu keputusan bedah siasat ke atas mayat mangsa yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh.

Mangsa yang juga seorang pemaju hartanah berusia 55 tahun diculik ketika sedang berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, sekitar jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Selepas hampir 18 hari diculik, mayatnya ditemui di dalam belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, Rawang kira-kira jam 9 pagi, Sabtu lalu

Penemuan mayat mangsa itu susulan tangkapan polis ke atas tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dalam serbuan berasingan di Selangor sejak Jumaat lalu.

Semua suspek termasuk seorang lelaki bergelar Datuk berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun kini direman antara lima hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, polis sudah menahan sembilan suspek bagi membantu siasatan termasuk seorang suspek yang tampil menyerah diri di Balai Polis Rawang, malam tadi.

Berita Harian X