Rabu, 1 Julai 2020 | 2:55pm

COVID-19: 1,400 belum jalani saringan kali kedua bakal diburu polis

KUALA LUMPUR: Polis akan memburu lebih 1,400 rakyat Malaysia yang kuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua hingga kini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata golongan itu wajib menjalani saringan kedua pada hari ke-13 selepas didapati negatif pada ujian pertama.

Jika gagal berbuat demikian, beliau berkata, mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta akan dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Ada 1,400 orang yang degil ini. Insya-Allah, kita akan menghantar polis untuk mencari mereka supaya menjalani ujian saringan kali kedua.

"Justeru, sama ada mereka hendak menunggu polis datang atau sendiri pergi ke klinik atau menelefon pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat temu janji bagi melakukan ujian saringan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, KKM memaklumkan bahawa lebih 1,400 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan kuarantin di rumah, masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua.

Ismail Sabri menegaskan, walaupun rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, mereka tetap perlu mematuhi SOP ditetapkan.

Antaranya, beliau berkata, memakai gelang tangan pengesanan COVID-19 yang menunjukkan mereka sudah menjalani ujian saringan serta didapati negatif, tidak boleh meninggalkan bilik dan rumah, serta mesti menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13.

"Jika ia didapati negatif, kita akan memotong gelang tangan itu yang menunjukkan mereka bebas COVID-19. Justeru, mereka mesti melakukan ujian saringan kali kedua," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pusat bekam dibenarkan untuk beroperasi semula, Ismail Sabri berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, semua perkhidmatan berkaitan perubatan tradisional dibenarkan.

"Bukan hanya spa di hotel tetapi juga tradisional seperti berbekam dan urutan selepas bersalin juga kita benarkan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X