Jumaat, 3 Julai 2020 | 3:32pm

Sabah tak bincang Kerajaan Pusat kebenaran masuk pekerja China

KUALA LUMPUR: Sabah tidak pernah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan membenarkan pekerja dari China masuk ke negeri itu.

"Apa dilakukan oleh (kerajaan) Sabah, saya percaya dilakukan sendiri dan tidak pernah dibincangkan dengan kerajaan Persekutuan," kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, di peringkat persekutuan, kerajaan masih menutup pintu negara kepada pekerja warga asing, kecuali ekspatriat kategori EP1 (pengurusan tertinggi) yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"China sebuah negara yang besar dan masih dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi dan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih berbincang mengenal pasti kawasan merah dan hijau di negara itu," katanya.

Rabu lalu, Kerajaan Negeri Sabah dilaporkan membuat keputusan membenarkan pekerja asing dari China masuk ke negeri itu tertakluk kepada segala peraturan yang ditetapkan sepanjang PKPP termasuk melakukan ujian saringan COVID-19 di tempat masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah dan disahkan bebas daripada pandemik berkenaan.

Ditanya mengenai kebenaran mendirikan solat Jumaat bagi pelajar antarabangsa yang tinggal di kampus, Ismail Sabri berkata tiada halangan bagi mereka untuk mendirikan solat berjemaah bersama-sama pelajar tempatan.

"Mereka sudah lama berada di kampus dan kita tahu tiada kluster baharu membabitkan pelajar di dalam kampus, maka tiada isu jadi kita (kerajaan) benarkan mereka solat berjemaah.

"Bagaimanapun, hanya di masjid yang berada di dalam kampus universiti sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, kebenaran sama katanya, turut diberikan kepada mana-mana pelajar yang pulang dari luar negara dan didapati negatif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan.

Kebenaran mendirikan solat Jumaat dan solat berjemaah itu diumumkan minggu lalu dengan mengambil kira keluasan masjid serta perlu patuh SOP terutama penjarakan sosial.

Menyentuh mengenai persoalan sama ada mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas tidak dibenarkan mengunjungi tempat awam dan pasar raya, beliau berkata tiada larangan sebaliknya tidak digalakkan memandangkan mereka adalah golongan berisiko.

"Kita (kerajaan) tidak pernah larang tetapi bagi golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak, kita nasihatkan agar elakkan tempat seumpama itu," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO/BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO/BERNAMA
Berita Harian X