Sabtu, 4 Julai 2020 | 11:30am
Orang ramai mengundi di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) FELDA Chini 3, hari ini. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Orang ramai mengundi di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) FELDA Chini 3, hari ini. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

'Doakan yang baik-baik sahaja' - Mohd Sharim

PEKAN: "Alhamdulillah, seperti tidak percaya sudah selamat mengharungi tempoh berkempen dua minggu. Kini saya berserah kepada ketentuan Allah dan doakan yang baik-baik sahaja," kata Mohd Sharim Md Zain.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini itu, turut berharap pengundi DUN berkenaan dapat keluar menunaikan tanggungjawab mereka walaupun mungkin berdepan sedikit perbezaan kerana kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi ekoran pandemik COVID-19.

BERNAMA melaporkan, Mohd Sharim yang mengundi di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) FELDA Chini 3 pada jam 9.15 pagi tadi, berkata beliau akan melawat beberapa pusat mengundi sekitar DUN Chini dan berharap proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain mengundi di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) FELDA Chini 3, hari ini. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, Mohd Sharim Md Zain mengundi di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) FELDA Chini 3, hari ini. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

PRK DUN Chini menyaksikan Mohd Sharim yang juga generasi kedua FELDA ditentang dua calon Bebas, iaitu ahli perniagaan Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog.

Tengku Zainul Hisham dan Mohd Shukri bukan pengundi berdaftar di DUN Chini.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur. Abu Bakar mula bergelar wakil rakyat DUN Chini sejak 2004.

Pada PRU-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Galeri:

  • Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23, Chini
  • Berita Harian X