Rabu, 8 Julai 2020 | 12:21pm

Perbicaraan kes jenayah secara sidang video di Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman akan memperkenalkan perbicaraan kes jenayah secara sidang video bagi Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Sabah serta Sarawak, masing-masing bermula esok dan Isnin ini.

Menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), langkah itu bertujuan mempercepatkan pendengaran rayuan, terutama yang membabitkan kes hukuman mati dan rayuan jenayah pada peringkat mahkamah atasan.

Katanya, ia juga akan menjimatkan masa dan kos logistik, selain memanfaatkan teknologi bagi kesinambungan akses kepada keadilan.

"Perbicaraan kes jenayah secara sidang video bagi Mahkamah Persekutuan akan bermula 9 Julai ini di Kota Kinabalu.

"Ada dua kes rayuan jenayah yang akan didengar, iaitu rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana banduan terbabit yang ditempatkan di Penjara Kota Kinabalu akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pada prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya dan peguam juga akan berada di lokasi bersama banduan, manakala panel Hakim Mahkamah Persekutuan pula di Mahkamah Teknologi, Istana Kehakiman Putrajaya.

Dalam pada itu, katanya, perbicaraan kes jenayah secara sidang video bagi Mahkamah Rayuan akan bermula Isnin ini di Kuching.

"Ada tujuh kes rayuan jenayah akan didengar, iaitu kes bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan; Seksyen 379A Kanun Keseksaan; Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kesemua banduan terbabit yang ditempatkan di Penjara Puncak Borneo, Kuching, akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuching," katanya.

Berita Harian X