Rabu, 8 Julai 2020 | 2:01pm
Wan Junaidi (kanan) mengadakan pertemuan dengan Ronald Kiandee bagi membincangkan kerjasama untuk melahirkan usahawan berkaitan pertanian (agroprenuer) dalam negara.
Wan Junaidi (kanan) mengadakan pertemuan dengan Ronald Kiandee bagi membincangkan kerjasama untuk melahirkan usahawan berkaitan pertanian (agroprenuer) dalam negara.

Dua kementerian bekerjasama lahirkan agroprenuer muda

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan bekerjasama untuk melahirkan usahawan berkaitan pertanian (agroprenuer) dalam negara.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee untuk merealisasikan hasrat itu.

Katanya, pelbagai input pertanian, latihan dan permodenan pertanian ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dibincangkan bersama dalam pertemuan itu.

"Pembabitan koperasi berasaskan pertanian diharap dapat meningkatkan output dan menambahkan pendapatan koperasi terutama dalam menceburi pertanian moden yang mana pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan setuju untuk membantu dan memberikan bekerjasama.

"Saya berharap kerjasama strategik antara MEDAC dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mampu memainkan peranan dalam mempertingkatkan lebih ramai usahawan koperasi yang lebih kreatif dan inovatif," katanya dalam kenyataan.

Wan Junaidi berkata, beliau yakin usaha sama itu juga mampu melahirkan lebih ramai agroprenuer khususnya usahawan muda dan wanita dalam bidang pertanian dan industri makanan.

Berita Harian X