X
Rabu, 8 Julai 2020 | 6:55pm
Dr Azlan menerangkan prosedur implan menggunakan Micra AV, alat perentak jantung micra terkecil di dunia yang bakal digunakan IJN. Foto BERNAMA
Dr Azlan menerangkan prosedur implan menggunakan Micra AV, alat perentak jantung micra terkecil di dunia yang bakal digunakan IJN. Foto BERNAMA

IJN hospital pertama di rantau Asia Pasifik guna teknologi Micra AV

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) melakar sejarah apabila menjadi hospital pertama di rantau Asia Pasifik melaksanakan prosedur implan menggunakan Micra AV.

Micra AV adalah alat perentak jantung micra terkecil di dunia dan tidak mengandungi wayar bagi merawat penyakit jantung perlahan.

Lebih membanggakan, syarikat teknologi perubatan Amerika Syarikat yang menghasilkan implan itu, Medtronic bekerjasama dengan IJN sebagai pusat kajian dan latihan klinikal sulung di luar Amerika Syarikat sejak tahun 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, berkata prosedur memasukkan implan Micra AV ke atas pesakit dilakukan pasukan pakar elektrofisiologi di hospital itu buat julung kalinya pada Mac lalu.

"IJN adalah hospital pertama di dunia selepas Amerika Syarikat yang memperkenalkan kaedah ini untuk dimanfaatkan kepada pesakit.

"Sebelum ini, ada pesakit jantung kami tidak dapat menjalani pembedahan memasukkan alat perentak jantung tradisional kerana terdedah dengan pelbagai komplikasi.

"Bagaimanapun, saiz kecil Micra AV ini membolehkan doktor melakukan implan dengan prosedur yang minimum, sekali gus pesakit tidak terdedah kepada pembedahan biasa," katanya pada sidang media hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Klinikal IJN, Dr Hasri Samion dan Pengurus Perniagaan Kardiologi Medtronic Asia Pasifik, Fong Woei Hann.

Sementara itu, Perunding Kanan Kardiologi, IJN, Dr Azlan Hussin, berkata setakat ini enam pesakit telah menjalankan prosedur implan Micra AV dan terbaru, ia dilakukan semalam.

"Kita ada ramai pesakit berkaitan jantung perlahan, bagaimanapun cuma enam pesakit yang telah menjalani prosedur memasukkan implan Micra AV disebabkan kesukaran dialami ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

"Kita akan mulakan semula prosedur ini bergantung kepada keperluan pesakit. Secara keseluruhannya, kira-kira 600 hingga 700 pesakit di IJN dalam kalangan pesakit jantung perlahan," katanya.

Dr Azlan turut berkata, berbanding kaedah implan konvensional, prosedur rawatan Micra AV ini menawarkan lebih banyak manfaat kepada pesakit.

"Daripada aspek kekuatan adalah sama, tetapi kedudukannya terus berada di jantung tanpa menggunakan wayar, sekali gus tidak memerlukan torehan pada kulit kerana implan ini dimasukkan mengikut saluran darah.

"Prosedur bagi kaedah baharu ini juga cuma mengambil masa 15 hingga 20 minit berbanding cara lama yang memerlukan pembedahan dijalankan selama lebih sejam," katanya.

Berita Harian X