Rabu, 8 Julai 2020 | 11:07pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendengar taklimat ketika melawat Sekolah Agama Al Falah, Batu Talam yang terbakar awal pagi Sabtu lalu. - Foto Roselan Ab Malek
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendengar taklimat ketika melawat Sekolah Agama Al Falah, Batu Talam yang terbakar awal pagi Sabtu lalu. - Foto Roselan Ab Malek

Laporan media tidak tepat boleh timbulkan fitnah

RAUB: Pengamal media termasuk Al Jazeera wajar menyelidik dan mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa kerana laporan berita tidak tepat boleh menimbulkan fitnah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata video dokumentari 'Locked Up in Malaysia's Lockdown', berdurasi hampir 26 minit disiarkan pada 3 Julai lalu, yang disiarkan agensi berita itu tidak sepatutnya berlaku jika wartawan terbabit mendapatkan maklumat tepat.

Selain itu, warga Bangladesh dikenali sebagai Md Rayhan Kabir, 25, yang ditemuramah dalam wawancara video dokumentari masih dicari oleh pihak berkuasa tempatan.

"Laporan berkenaan bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat antarabangsa, bahkan turut mencemarkan imej Malaysia yang sedang berusaha sedaya upaya memutuskan rantaian penyebaran wabak COVID-19.

"Pengamal media perlu menjaga etika kerja dan membuat laporan tepat dengan fakta yang sahih supaya berita yang disiarkan diterima dengan tenang dan bukan persepsi tidak baik," katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas melawat ke Sekolah Agama Al Falah, Batu Talam yang terbakar Sabtu lalu.

Tingkat tiga Sekolah Agama Al-Falah menempatkan asrama lelaki dan bilik penyimpanan dokumen musnah terbakar awal pagi Sabtu lalu. - Foto Roselan Ab Malek
Tingkat tiga Sekolah Agama Al-Falah menempatkan asrama lelaki dan bilik penyimpanan dokumen musnah terbakar awal pagi Sabtu lalu. - Foto Roselan Ab Malek

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Raub, Datuk Muhammad Shahid Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi Sabtu lalu, tingkat tiga bangunan Sekolah Agama Al- Falah yang menempatkan dua bilik asrama lelaki, termasuk dua bilik stor dan bilik simpanan dokumen serta tandas musnah terbakar.

Zulkifli berkata, sekolah agama itu memerlukan bantuan dan pihaknya akan berusaha membantu serta sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan sekolah ini segera dibaik pulih.

"Walaupun kebakaran ini satu kerugian tetapi kita tetap bersyukur kerana tiada kematian kerana pelajar masih belum ada dan ini adalah satu ujian Allah," katanya.

Berita Harian X