X
Jumaat, 10 Julai 2020 | 10:02am
Kempen Hari Jumaat Hari Jawi adalah dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia. -Foto hiasan
Kempen Hari Jumaat Hari Jawi adalah dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia. -Foto hiasan

Kempen Hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri memaklumkan Kempen Hari Jumaat Hari Jawi bermula hari ini, dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat kelmarin.

"Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan jawi bagi urusan rasmi.

"Di samping itu, penggunaan tulisan jawi di media sosial juga diperluaskan kepada setiap media sosial rasmi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)," katanya dalam satu kenyataan.

Zulkifli berkata, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Malah, katanya tulisan Jawi menjadi bahasa perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dahulu.

"Saya ingin menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat untuk bersama dalam usaha memelihara warisan negara ini," katanya.

Berita Harian X