Sabtu, 11 Julai 2020 | 5:25pm
Peningkatan kos sara hidup warga kota adalah antara isu perlu ditangani secara tuntas. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Peningkatan kos sara hidup warga kota adalah antara isu perlu ditangani secara tuntas. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Imbangi perubahan sosioekonomi dengan dasar sesuai'

KUALA LUMPUR: Dasar bersesuaian perlu direncana bagi merungkai perubahan struktur dan sosioekonomi penduduk di Malaysia, khususnya membabitkan beberapa golongan yang mengalami tempias ledakan pembangunan.

Penekanan sedemikian antara lain harus terarah kepada isu pola peningkatan kos sara hidup di kota, keperluan mewujudkan jaringan perlindungan keselamatan untuk yang bekerja sendiri dan langkah menangani isu perpindahan penduduk dari luar bandar.

Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Suraya Ismail, berkata laporan tinjauan Pendapatan Isi Rumah (HIS) menunjukkan perbelanjaan untuk keperluan bukan makanan, iaitu perumahan dan pengangkutan semakin tinggi di kota.

Katanya, kesan peningkatan itu menyebabkan pendapatan boleh guna penduduk di kota semakin berkurangan, sekali gus memberi tekanan hidup kepada mereka.

"Ini antara dapatan yang ditunjukkan menerusi laporan HIS, justeru kerajaan perlu mempertimbangkan kesan ini dalam merangka sebarang inisiatif dan dasar berkaitan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Laporan terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam, menunjukkan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah purata bagi warganegara Malaysia meningkat sebanyak 4.2 peratus, manakala pendapatan isi rumah boleh guna meningkat 4.4 peratus.

Kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan pendapatan melebihi perbelanjaan, namun lapan negeri merekodkan pertumbuhan perbelanjaan penggunaan isi rumah melebihi pendapatan iaitu Melaka (4.9 peratus), Negeri Sembilan (5.6 peratus), Perlis (3.8 peratus), Sabah (4,5 peratus), Sarawak (3.6 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.7 peratus), Labuan (3.6 peratus) dan Putrajaya (4.5 peratus).

Suraya berkata, laporan berkenaan turut menyaksikan peningkatan pendapatan menerusi pekerjaan sendiri kepada 17.3 peratus pada tahun lalu, berbanding 15.6 peratus pada 2016.

"Ini perkembangan baik yang mana menyaksikan rakyat kini lebih cenderung ke arah menjana pendapatan menerusi pekerjaan atau perniagaan sendiri, namun kerajaan harus memainkan peranan.

"Ia merangkumi penyediaan jaringan perlindungan keselamatan dan kebajikan untuk individu yang bekerja sendiri supaya sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini, kehidupan mereka tidak terjejas," katanya.

Berdasarkan pengiraan metodologi 2019, Suraya berkata, pola sosioekonomi rakyat menyaksikan perubahan ketara apabila jurang pendapatan mengikut negeri semakin melebar.

Secara perbandingan, pendapatan purata direkodkan di Kuala Lumpur adalah yang tertinggi, iaitu RM13,257 manakala Kelantan hanya RM4,874.

Rentetan jurang pendapatan berkenaan, katanya, kerajaan wajar merencana dasar bersesuaian supaya peluang pekerjaan dengan pendapatan menarik berupaya diwujudkan dengan lebih seimbang di negeri lain.

"Menerusi pendekatan ini, tumpuan atau kesesakan penduduk di sesuatu negeri dapat dielakkan, sekali gus menyaksikan rakyat di Malaysia tersebar ke pelosok tempat," katanya.

Menyentuh kadar gaji minimum, Suraya berkata, Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang kini meningkat kepada RM2,208 bermaksud pendapatan seseorang dalam kategori berkenaan dan mengikut nilai ambang itu adalah RM1,104.

Beliau berkata, nilai itu tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan kadar gaji minimum semasa, iaitu RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama.

"Oleh itu, ada asas untuk kita tingkatkan gaji minimum ke kadar yang lebih bersesuaian, dengan mengambil kira tekanan kos sara hidup, khususnya di bandar.

"Bagaimanapun, peningkatan ini wajar mengambil kira had berkaitan supaya ia tidak hampir dengan anggaran kadar gaji kehidupan wajar sebanyak RM2,700," katanya.

Berita Harian X