Sabtu, 11 Julai 2020 | 7:13pm
Penularan COVID-19 sudah terkawal dan pelajar mula membeli kelengkapan sebagai persediaan sekolah akan dibuka sepenuhnya Rabu ini. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Penularan COVID-19 sudah terkawal dan pelajar mula membeli kelengkapan sebagai persediaan sekolah akan dibuka sepenuhnya Rabu ini. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

COVID-19: 21 positif daripada 60,952 sampel prapembedahan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sudah mengambil 60,952 sampel prapembedahan setakat semalam, dengan 21 kes didapati positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sampel itu diambil dalam kalangan individu yang perlu menjalani pembedahan bagi kes kecemasan dan separa kecemasan hospital kerajaan.

Beliau berkata, kes positif kekal rendah, walaupun jumlah persampelan yang tinggi diambil, sekali gus menunjukkan penularan COVID-19 dalam negara terkawal.

"Sistem survelan yang dinamik ini proksi yang bagus untuk mengambarkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

"Ini disebabkan ia meliputi semua kelompok masyarakat dan dijalankan pada individu yang tidak bergejala.

"Kementerian akan terus memantau kes COVID-19 di dalam komuniti dan memastikan kes dikesan awal dan penularan jangkitan COVID-19 dapat dibendung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, persampelan prapembedahan itu antara sistem survelan yang dijalankan di Malaysia bagi mengesan awal jangkitan COVID-19 dalam komuniti, sekali gus menjadi amaran awal untuk bertindak.

"Survelan ini dijalankan pada populasi yang besar dan ia meliputi lapisan masyarakat yang tidak bergejala. Individu yang perlu menjalani pembedahan bagi kes kecemasan dan separa kecemasan di hospital kementerian perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 terlebih dahulu," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X