Isnin, 13 Julai 2020 | 11:23pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA

Kes Adib: PDRM sangkal keluar kenyataan bercanggah dengan Mahkamah Koroner

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyangkal dakwaan keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Katanya, tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat pada 10 Julai lalu yang mengatakan tiada seorang pun saksi yang nampak Muhammad Adib dipukul termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan Allahyarham.

"Segala fakta yang diberi adalah hasil siasatan dan dapatan terkini dan ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues.

"PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa sehingga kini tiada saksi yang benar-benar dapat menyatakan bahawa Allahyarham Muhammad Adib dipukul," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hamid berkata, semua keterangan yang diperoleh adalah bersifat 'hearsay' atau khabar angin dan juga pendapat.

"Usaha masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah ini jika ada. Sekiranya benar berlaku serangan seperti mana yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan pendapat seorang pakar, pastinya wujud kesan-kesan serangan," katanya.

Beliau juga berkata, pasukan siasatan juga menjalankan siasatan lanjut ke atas saksi yang mana didapati tidak konsisten dalam tiga peringkat percakapan sebelum ini, begitu juga saksi-saksi lain yang memberikan keterangan dalam inkues kerana ada di antara mereka mendedahkan beberapa maklumat atau keterangan baharu yang perlu disiasat lanjut.

Setakat ini, polis merakam semula keterangan 30 saksi yang sebelum ini tampil ketika inkues serta 52 saksi baharu.

Abdul Hamid berkata, inkues bukanlah perbicaraan sebenar tetapi hanya untuk mengetahui apa yang berlaku melalui saksi-saksi.

"Oleh itu, inkues bukan satu prosiding di mana ada pihak bertentangan atau berlawan. Dalam proses inkues, kelonggaran juga diberi daripada kaedah keterangan tatacara untuk saksi-saksi membuat keterangan. Kredibiliti semua saksi juga tidak boleh dipertikaikan seperti prosiding mencabar kebolehpercayaan (impeachment proceeding).

"Justeru, keputusan Mahkamah Koroner bukan mengikat mana-mana pihak untuk mencari bukti dan dapatan baharu, sebaliknya penemuan dan dapatan baharu akan dapat menentukan keputusan Mahkamah Koroner sama ada boleh disokong atau diterima sepenuhnya. Hanya perbicaraan di peringkat Mahkamah Jenayah akan menentukan keputusan yang konklusif, holistik dan mengikat pihak berkepentingan," katanya.

Abdul Hamid berkata, keputusan inkues yang digariskan oleh Koroner cuma panduan untuk pihak polis setelah mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi yang dipanggil.

"PDRM boleh terus menjalankan siasatan melalui pelbagai sudut dan pendekatan bagi menyiasat segala kemungkinan dan seterusnya menyelesaikan kes ini. Terdapat kebarangkalian hasil siasatan lanjut ini tidak akan selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner terutamanya daripada sudut keterangan jelas arwah dipukul, keterangan kecederaan arwah yang tidak sepadan dengan corak serangan dan keterangan pakar yang bercanggah," katanya.

Beliau juga berkata, sebagai menghormati keputusan Mahkamah Koroner, sehingga kini siasatan kes itu tidak pernah ditutup dan masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

"Tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat bukti dan keterangan baharu seperti mana sebelum kerajaan memutuskan untuk inkues dilaksanakan. Setakat ini jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 108 orang membabitkan 61 kertas siasatan," kata Abdul Hamid.

Seramai 28 orang sudah dituduh di mahkamah membabitkan lapan kertas siasatan berkait pelbagai kesalahan seperti merusuh, mendatangkan kecederaan, khianat, menghalang tugas penjawat awam dan pencerobohan jenayah.

Berhubung kesahihan arwah Muhammad Adib memberikan respon ke atas 15 soalan 'dying declaration', Abdul Hamid menjelaskan ia perlu disiasat dengan lebih lanjut oleh pasukan siasatan.

"Perkara itu dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar atau dinilai kredibiliti serta kesahihannya. Siasatan lanjut perlu dibuat bagi memastikan bagaimana wujud isu 'dying declaration', kemampuan arwah ketika memberikan respon ke atas semua 15 soalan berkenaan dan kesahihah kejadian itu daripada saksi-saksi," katanya.

Berita Harian X