Selasa, 14 Julai 2020 | 2:55pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA

Pelbagai inisiatif tingkat jumlah usahawan graduan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penyertaan graduan untuk menceburi bidang keusahawanan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata antara inisiatif itu ialah Technopreneurship Programs for Fresh Graduate, iaitu program rintis kerjasama antara MEDAC dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

"Program ini membangunkan kemahiran dan pengetahuan graduan mengenai teknologi 4.0 dan seterusnya berpotensi memberi peluang pekerjaan, selain menceburi bidang keusahawanan teknologi.

"Program ini menyasarkan penyertaan 500 peserta dalam kalangan graduan dan bakal graduan yang sehingga 9 Jun lalu, seramai 324 graduan memberikan respons untuk mengikuti program ini," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta kerajaan menyatakan pelan tindakan dalam menyediakan ruang dan peluang khusus kepada graduan universiti supaya dapat menyertai bidang keusahawanan.

Wan Junaidi berkata, selain itu, kementeriannya turut melaksanakan Agri Coaching & Industry Development

Programme (ACID) yang menawarkan peluang latihan keusahawanan melalui pertanian terutama bagi graduan B40.

Katanya, tempoh pelaksanaan program itu adalah selama setahun membabitkan penyertaan seramai 140 peserta.

"Kita turut melaksanakan program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp (N-GENE) yang bertujuan meningkatkan potensi kebolehpasaran dan membangunkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan belia secara dalam talian dan bimbingan perniagaan selama sembilan bulan.

"Program ini dijangka bermula bulan depan dan menyasarkan penyertaan seramai 2,000 graduan, belia dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institusi Kemahiran Awam (IKA)," katanya.

Wan Junaidi berkata, MEDAC merancang melaksanakan kerjasama strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mewujudkan lebih banyak peluang dan inisiatif keusahawanan kepada graduan universiti.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif merentas kementerian itu dijangka akan memberikan lebih banyak manfaat kepada graduan dan bakal graduan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi dan bersasar.

"Program ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 graduan pada tahun ini hingga tahun depan bagi peluang menceburi perniagaan dan kebolehpasaran graduan," katanya.

Berita Harian X