Jumaat, 17 Julai 2020 | 12:03am
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria, dianugerahkan Pingat Perkhidmatan WAGGGS yang diumumkan oleh Pengerusi Lembaga WAGGGS Sedunia, Ana Maria Mideros, melalui saluran YouTube WAGGGS. - FOTO BERNAMA
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria, dianugerahkan Pingat Perkhidmatan WAGGGS yang diumumkan oleh Pengerusi Lembaga WAGGGS Sedunia, Ana Maria Mideros, melalui saluran YouTube WAGGGS. - FOTO BERNAMA

Raja Permaisuri Agong dianugerahkan Pingat Perkhidmatan WAGGGS

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menerima pengiktirafan tertinggi dengan dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS), semalam.

Pingat Perkhidmatan itu adalah pengiktirafan tertinggi diberikan WAGGGS kepada individu cemerlang yang mempamerkan perkhidmatan luar biasa kepada pertubuhan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri pada peringkat nasional serta global.

Pengumuman rasmi berhubung perkara itu dibuat oleh Pengerusi Lembaga WAGGGS Sedunia, Ana Maria Mideros, melalui saluran YouTube WAGGGS.

Beliau berkata, Tunku Azizah amat aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan memegang jawatan pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

"Baginda amat gigih dalam usaha membangunkan potensi wanita dan gadis muda ke arena antarabangsa menerusi Pandu Puteri," katanya.

Tunku Azizah berpengalaman menyandang gelaran Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Pahang serta Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Pada 2015, baginda berkenan menjadi Penaung Diraja Friends of Asia Pasific WAGGGS (FAPW) membabitkan keanggotaan dari 27 negara di rantau Asia Pasifik. – BERNAMA

Berita Harian X